"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga emas parah ditikam anak guna pembuka tin

Ahmad Hasbi
am@hmetro.com.my
Kediaman mangsa yang ditikam menggunakan pembuka tin oleh anaknya sendiri. - FOTO Ihsan polis
Kediaman mangsa yang ditikam menggunakan pembuka tin oleh anaknya sendiri. - FOTO Ihsan polis
Kuala Pilah: Wanita warga emas parah selepas dikatakan ditikam anaknya pada bahagian leher di sebuah rumah di Kampung Segineh Inas, Johol, malam tadi.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa ditikam dengan pembuka tin oleh suspek yang juga seorang wanita yang dikatakan mempunyai masalah mental.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Mustafah Hussin berkata, mangsa yang berusia 80-an itu berada dalam keadaan stabil dan dirawat di Hospital Rembau.

"Pihak polis mengesahkan menerima satu laporan berhubung kejadian tikaman membabitkan ahli keluarga di Kampung Segineh Inas.

"Siasatan awal mendapati pada jam 7.08 malam tadi, polis menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan satu kes pergaduhan di sebuah rumah.

"Suspek dikatakan menikam leher ibunya sendiri menggunakan senjata tajam yang dipercayai alat pembuka tin," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Rembau untuk mendapatkan rawatan lanjut dan kini dalam keadaan stabil serta masih dalam pemantauan pihak hospital.

"Saspek seorang wanita berumur 50-an yang juga anak kandung mangsa. Motif kejadian masih dalam siasatan dan kemungkinan suspek mempunyai masalah kesihatan mental.

"Suspek kini ditahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah di talian 06-4842999.

Tiada ulasan: