KOSMO
JAKARTA – Seorang bayi perempuan berusia 24 hari di Surabaya, wilayah Jawa Timur meninggal dunia selepas berada dalam keadaan kritikal, dipercayai diberi telur mentah oleh neneknya, lapor laman berita Suara Surabaya.
Bayi dikenali sebagai Alena itu diberi telur mentah oleh neneknya untuk meredakan demam tinggi. Dia dikejarkan kemudian ke Hospital Dr Soetomo untuk mendapatkan rawatan.
Namun, keadaannya semakin merosot sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 7.10 pagi (waktu tempatan), baru-baru ini.
Timbalan Gabenor Jawa Timur, Emil Elestianto Dardak berkata, pesakit didakwa mengalami jangkitan pada saluran pencernaan sehingga keadaannya merosot dan meninggal dunia.
“Berdasarkan maklumat yang saya terima daripada pihak hospital, pesakit mengalami jangkitan pada saluran pencernaan.
“Masih belum diketahui sama ada pemberian telur mentah tersebut menjadi punca,” kata Emil.
Pihak berkuasa menasihati orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan tidak memberi sebarang makanan kepada bayi. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan