Poliana Ronnie Sidom

Kemalangan membabitkan tiga kenderaan yang menyebabkan seorang maut dan seorang lagi cedera parah di Batu 27, Sandakan. – Foto Ihsan pembaca
SANDAKAN: Seorang penjual buah maut selepas gerai perniagaannya di tepi jalan dirempuh lori treler membawa muatan kayu balak dalam kemalangan di Batu 27, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, wanita berusia 50 tahun berkenaan meninggal dunia akibat kecederaan parah ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Ulu Dusun.
Seorang lagi wanita berusia 31 tahun cedera parah selepas tersepit dalam lori kargo, manakala tiga individu lain termasuk kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun terselamat.
Setakat ini, identiti semua mangsa belum diperoleh.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan iaitu lori treler membawa muatan kayu balak, lori kargo 10 tan dan sebuah kereta.
“Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.24 pagi sebelum menghantar tujuh anggota ke lokasi.
Beliau berkata, pasukannya tiba pada jam 9.04 pagi dan membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam lori kargo.
“Mangsa yang cedera diberikan rawatan awal sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan di lokasi untuk dihantar ke Hospital Beluran menggunakan kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan ambulans,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan