Hidayatidayu Razali
KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 55 tekong darat termasuk enam wanita yang disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) di sempadan Kelantan sejak tahun lalu hingga kini.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, daripada jumlah itu, 35 tekong ditahan tahun lalu manakala 20 lagi ditahan sepanjang tahun ini.
Katanya, tangkapan membabitkan 49 lelaki dan enam wanita terdiri daripada warga tempatan, Thailand, Bangladesh, Myanmar dan Pakistan.
“Pendekatan PGA kini tidak hanya tertumpu kepada penahanan PATI yang menyusup masuk sebaliknya turut menyasarkan tekong dan rangkaian yang menguruskan kemasukan mereka.
“Ini penting bagi memastikan kegiatan penyeludupan dapat diputuskan di peringkat rangkaian, bukan sekadar di peringkat PATI,” katanya ketika dihubungi.
Ahmad Radzi berkata, operasi bersepadu di sepanjang sempadan akan terus dipergiatkan bagi mengekang kegiatan penyeludupan manusia yang semakin berani, termasuk dakwaan ugutan terhadap penduduk kampung.
Mengulas dakwaan sindiket penyeludupan PATI menggunakan senjata api untuk mengugut penduduk, beliau berkata, sindiket berkenaan dilihat semakin berani mengambil risiko susulan kawalan sempadan yang diperketatkan dan penutupan banyak pangkalan haram.
Menurut Ahmad Radzi, pihaknya memandang serius dakwaan penduduk di kawasan pesisir Kelantan yang mendakwa pernah diugut menggunakan pistol selepas terserempak dengan individu dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan penyeludupan manusia.
“Bagaimanapun, dakwaan berkenaan masih belum disahkan melalui siasatan kerana sehingga kini pihak polis belum menerima laporan rasmi daripada penduduk berkenaan.
“Kita tidak mahu membuat pengesahan mengenai penggunaan atau pemilikan senjata api oleh sindiket tanpa bukti yang sah. Sebarang dakwaan akan diteliti dan disiasat berdasarkan maklumat serta bukti yang diperoleh.
“Keutamaan kita adalah memastikan keselamatan anggota, penduduk setempat dan keselamatan sempadan terus terpelihara,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan