HARRITH HISHAM

Keadaan Perodua Kancil selepas terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Stesen Minyak Five Kalumpang, Kuala Kubu Baharu, pagi tadi.
HULU SELANGOR – Seorang lelaki maut selepas kereta Perodua Kancil dipandunya dipercayai bertembung dengan seekor babi hutan sebelum terbabas dan melanggar sebuah lori 10 tayar di Stesen Minyak Five Kalumpang, Kuala Kubu Baharu di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.16 pagi itu, mangsa ditemukan tersepit di dalam kenderaan berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu bergegas ke lokasi.
“Setibanya di lokasi pada pukul 7.32 pagi, anggota mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori dan Perodua Kancil dengan seorang lelaki tersepit di dalam kereta berkenaan.
“Anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa dan berjaya melaksanakan operasi menyelamat dalam tempoh lima minit selepas tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.
Beliau menambah, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan