"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bunuh, bakar bapa saudara kerana pertikaian tanah, lelaki dijel 35 tahun

Ersie Anjumin
am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Seorang lelaki yang membunuh bapa saudaranya akibat pertikaian tanah sebelum bertindak membakar mayat mangsa, dijatuhi hukuman penjara 35 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Hakim Datuk Alexander Siew How Wai menjatuhkan hukuman itu terhadap Joe Fredin Taip, 52, selepas tertuduh mengaku bersalah membunuh Hussien Sodomon, 68.

Mengikut pertuduhan, Joe melakukan kesalahan itu di kawasan hutan di belakang sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kipaliu, Ranau, kira-kira 3 petang, antara 16 hingga 18 April 2024.

Tertuduh disabitkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara maksimum 40 tahun. Ia turut memperuntukkan hukuman tidak kurang 12 sebatan, sekiranya tidak dikenakan hukuman mati.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 19 April 2024. Joe bagaimanapun terlepas hukuman sebatan memandangkan usianya sudah melebihi 50 tahun.

Berdasarkan fakta kes, pada 15 April 2024, Joe pergi ke pondok mangsa sambil membawa sebatang kayu yang diambil dari rumah jiran, susulan perselisihan faham berhubung tanah keluarga.

Setibanya di pondok berkenaan, Joe memukul bahagian belakang kepala mangsa beberapa kali menggunakan kayu terbabit.

Mangsa menjerit kesakitan dan cuba melarikan diri, namun terjatuh berhampiran pondok itu. Joe kemudian mengheret kaki mangsa yang sudah tidak sedarkan diri ke dalam semak berhampiran, sebelum menutupnya dengan daun dan ranting kayu.

Keesokannya, Joe kembali ke lokasi berkenaan lalu mengalihkan mayat mangsa ke kawasan hutan di belakang sebuah rumah tidak bernombor di kampung itu, sebelum membakarnya.

Dia mengulangi proses membakar mayat itu pada 17 April selepas mendapati mayat mangsa belum musnah sepenuhnya.

Pada 18 April, anak saudara mangsa Mohd Hafiz Francis menemukan timbunan abu dan serpihan tulang disyaki tulang manusia di kawasan hutan, sebelum membuat laporan polis.

Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dacia Jane Romanus, manakala tertuduh diwakili peguam, Yong Pei Yi.

Tiada ulasan: