"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi: Cari Azam Baki? Bukan itu yang saya maksudkan

Malaysiakini

Menteri hal ehwal ekonomi yang baru dilantik Rafizi Ramli hari ini menafikan dia mengugut Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dalam kenyataannya sebelum ini.

Ketika ditanya wartawan mengenai perkara itu semasa sidang media pertamanya sebagai menteri pagi ini, Rafizi menjelaskan bahawa dia bermaksud untuk mengatakan bahawa keutamaan apabila kerajaan baru mengambil alih adalah memastikan semua agensi penguatkuasaan berfungsi dengan bebas.

"Saya tak rasa itu yang saya betul-betul cakap," kata timbalan presiden PKR itu.

“Saya fikir ia 'political soundbytes' atau news bytes' tetapi apa yang saya maksudkan ialah apabila kerajaan baru mengambil alih, keutamaan adalah untuk menjadikan segala-galanya bebas dan mengikut undang-undang.

“Bukan dia (Azam) atau sesiapa sahaja atau saya sendiri. Kita kena berhati-hati dalam apa yang kita lakukan,” tambahnya.

Pada 17 Nov lalu, dalam ceramah di Johor Bahru, Rafizi berkata: “Lepas menang pilihan raya kami cari Azam Baki, insya-Allah.

“Saya tahu Azam Baki tengok ni! Saya harap bila PH menang bila kami cari kamu, kamu jangan salahkan adik kamu sekali lagi,” katanya

Rafizi berkata demikian susulan serbuan SPRM ke atas syarikatnya, Invoke Solutions Sdn Bhd.

Tahun lalu, Azam menimbulkan kontroversi selepas didakwa memiliki hampir dua juta saham dalam sebuah syarikat senaraian awam - antara April 2015 dan Mac 2016 - semasa berkhidmat sebagai pengarah siasatan SPRM.

Pada Januari lalu, Azam berkata dia telah memaklumkan kepada Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM bahawa saham itu dibeli oleh adiknya yang meminjam namanya dan dia yakin dirinya tidak melakukan sebarang kesalahan.

Pendedahan itu mencetuskan siasatan Suruhanjaya Sekuriti yang akhirnya tidak menemui bukti perdagangan proksi kerana Azam mempunyai "kawalan" ke atas akaun dagangannya sendiri.

Rafizi: Penyokong PN patut tanya kenapa Muhyiddin cuba 'curi' MP

Malaysiakini

Penyokong Perikatan Nasional harus mempersoalkan langkah pemimpin mereka Muhyiddin Yassin dalam cubaan "mencuri" 10 ahli parlimen daripada BN untuk membentuk kerajaan, kata Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

Dalam klip video di akaun Tiktoknya malam tadi, Rafizi berkata tindakan sedemikian akan menjadikan undang-undang antilompat parti tidak bermakna dan akan membawa kepada berulangnya "Langkah Sheraton".

"Kalau 10 orang ahli parlimen tarik balik sokongan, tak takutkah Muhyiddin dia akan jadi perdana menteri yang (berkhidmat) lebih pendek dari 18 bulan sebelum ini?

"Takkan dia tidak sedar, kalau dia teruskan lagi permainan Langkah Sheraton untuk membentuk kerajaan, silap-silap hari ini dia mungkin jadi perdana menteri selama beberapa bulan," kata Rafizi.

Rafizi merujuk kepada dakwaan awal Muhyiddin bahawa dia telah mendapatkan akuan berkanun (SD) daripada 115 ahli parlimen yang menyokongnya sebagai perdana menteri.

Dakwaan Muhyiddin itu menimbulkan spekulasi bahawa beberapa ahli parlimen BN mengabaikan keputusan pimpinan tertinggi mereka dan bertindak sendiri menyokong Muhyiddin.

Akhirnya, BN memutuskan kesemua 30 ahli parlimennya mesti akur dengan keputusan kepimpinan pusatnya untuk mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Menghormati Agong

Klip Video Tiktok Rafizi semalam turut menceritakan versi peristiwanya selepas berakhirnya pilihan raya 19 Nov dan empat hari penting selepas itu, yang membawa kepada pelantikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Menurut Rafizi, Agong telah mencadangkan kerajaan perpaduan untuk memecahkan kebuntuan politik dan mencadangkannya kepada gabungan utama. Semua gabungan kecuali PN bersetuju dengan cadangan itu, kata Rafizi.

Rafizi, yang berkata dia adalah perunding utama dalam pembentukan kerajaan baru, mendedahkan Muhyiddin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang telah menulis mengenai draf cadangan daripada istana bahawa mereka tidak bersetuju dengan idea itu.

"Mereka yang marah tentang pembentukan kerajaan kerana mahu kerajaan yang didominasi oleh wakil rakyat dan menteri Melayu yang secara begitu besar, mereka patut bawa bersabar dan sepatutnya tanya balik kepada Muhyiddin dan Hadi.

“Bukankah tindakan menolak titah Tuanku untuk membentuk kerajaan perpaduan itu bertentangan dengan kempen PN konon mereka mahu menjaga Melayu dan institusi Melayu. Kenapa nak membentuk kerajaan dengan mencuri MP parti lain?" kata Rafizi.

Sementara itu, Rafizi menggesa ahli parlimen pembangkang untuk memberikan kritikan membina terhadap kerajaan baru.

"Kalau ada penyelewengan pada pihak kami, bongkarlah seperti yang saya buat dahulu. Kalau boleh, sampai pecah rekod saya masuk lokap berkali-kali dan sampai kena saman 16 kali.

"Kalau boleh pecah rekod itu, lebih baik. Berbahaslah secara berilmiah dan baik dengan bawa idea yang baru," katanya.

Rafizi ialah ahli parlimen Pandan

PM jadi menteri kewangan kerana situasi 'luar biasa' - Rafizi

Isabelle Leong & Ng Xiang Yi

Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang baru dilantik Rafizi Ramli berkata keputusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil portfolio kewangan sesuai diambil memandangkan situasi “luar biasa” politik ketika ini.

Rafizi, dalam sidang media pertamanya selepas dilantik menjadi menteri pagi ini berkata langkah itu adalah untuk tidak menimbulkan rasa tidak puas hati mana-mana parti komponen dalam kerajaan perpaduan.

Kata timbalan presiden PKR itu, sekiranya portfolio kewangan diberikan kepada salah seorang pemimpin dalam parti lain, ia boleh menimbulkan ancaman kepada mereka dan menimbulkan masalah dalam pentadbiran semasa.

“Pada pandangan saya, itu satu keputusan yang sangat sukar telah diambil kerana bila kita ada gabungan-gabungan yang masing-masing bentuk kerajaan, dah tentu setiap komponen (parti) mahu jawatan menteri kewangan itu berada di pihak mereka.

“Contoh ada orang dari PH jadi menteri kewangan pun akan jadi masalah kepada BN. Kalau dari BN, ada masalah pada PH.

“Oleh kerana situasi luar biasa ketika ini, maka keptusuan itu bagi saya sesuai buat masa sekarang, iatu senang, perdana menteri jadi menteri kewangan supaya tak timbul isu dengan gabungan berbeza (dalam kerajaan),” katanya di Menara Prisma di Putrajaya hari ini.