"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mike Tyson: 'Saya spesies manusia berbeza'

Agensi
TYSON (kiri) akan bertemu Paul pada 15 November depan. FOTO REUTERS
TYSON (kiri) akan bertemu Paul pada 15 November depan. FOTO REUTERS
Los Angeles: Mike Tyson menepis keraguan orang ramai terhadap perbezaan usia 31 tahun antara beliau dan Jake Paul menjelang pertarungan membabitkan kedua-dua mereka, 15 November depan.

Ia adalah pertarungan terbesar bagi Paul, seorang YouTuber yang kini menceburi dunia tinju, sejak mula memasuki gelanggang, dan dia sememangnya memiliki kelebihan dari segi usia.

Paul hanya tewas sekali setakat ini iaitu di tangan Tommy Fury.

Ramai mengkritik keputusan untuk mempertemukan kedua-dua mereka dalam gelanggang memandangkan jurang usia mereka yang agak jauh.

Kali terakhir Tyson bertinju secara profesional adalah pada 2005, di mana dia tewas kepada Kevin McBride. Penampilan terakhirnya dalam gelanggang tinju adalah pada 2020 ketika bertarung dengan Roy Jones Jr dalam perlawanan pertunjukan yang berakhir dengan keputusan seri.

Namun, Tyson, walaupun sudah berusia 58 tahun, tetap mempunyai keyakinan tinggi dan berkongsi rakaman latihannya sambil menyatakan bahawa dia adalah 'spesies manusia yang berbeza'.

"Dia lebih muda, dia patut mampu menahan tumbukan daripada seorang lelaki tua seperti saya.

"Saya adalah spesies manusia yang berbeza kerana saya sangat aktif dengan apa yang saya lakukan. Saya tak suka duduk diam," katanya.

‘Scammer’ tukar wajah lepas tipu lebih RM929,000

KOSMO
Xie menggunakan sebahagian wang untuk menjalani pembedahan plastik bagi elak ditangkap pihak berkuasa. - Weixin 
BANGKOK – Seorang wanita dari China menjalani pembedahan plastik dengan hasil penipuan berjumlah 1.52 juta yuan (RM929,132) sebelum melarikan diri ke Thailand, lapor saluran berita South China Morning Post.

Dia dilaporkan menjalani pembedahan plastik untuk mengelakkan diri daripada ditangkap selepas menipu enam mangsa dengan tawaran pekerjaan sebagai pramugari.

Penduduk sebuah blok apartmen di Bangkok melaporkan bahawa suspek yang hanya dikenali sebagai Xie, 30, itu sering menutup wajahnya dengan pelitup muka sehingga menimbulkan syak wasangka bahawa dia ialah pendatang tanpa izin. 

Menurut pegawai Imigresen Thailand, beberapa anggota kastam dikerahkan ke rumah suspek di Bangkok dan memeriksa pasportnya semasa dia turun untuk mengambil makanan. 

“Xie memasuki Thailand pada penghujung 2022 dengan menggunakan visa dan mempunyai tempoh 15 hari untuk melancong di negara ini.

“Namun, tarikh visanya menunjukkan dia tinggal lebih daripada 650 hari di Thailand, menyebabkan suspek ditahan pada 7 Oktober lalu,” jelas pegawai berkenaan minggu ini. 

Semasa siasatan, Xie mendakwa pernah menjadi pramugari di sebuah syarikat penerbangan terkenal sebelum dipecat. 

Bagaimanapun, polis Thailand mendedahkan bahawa dia dikehendaki di bawah Notis Biru Interpol.

“Antara tahun  2016 hingga 2019, dia didakwa menipu enam mangsa sebanyak 1.52 juta yuan dengan berjanji mendapatkan kerja pramugari untuk mereka.

“Sebahagian daripada wang itu digunakan untuk menjalani pembedahan plastik sebelum melarikan diri ke Thailand,” tambahnya. 

Bahagian Biro Imigresen Thailand menegaskan bahawa Xie akan dihukum mengikut undang-undang Thailand kerana tinggal lebih masa sebelum dihantar pulang ke China. – AGENSI

Polis siasat kumpulan aktiviti pengantunan seksual di media sosial

Bernama

KUALA LUMPUR: Polis sudah memulakan siasatan mengenai dakwaan kewujudan kumpulan yang menjalankan aktiviti pengantunan seksual kanak-kanak di media sosial.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata siasatan dilakukan selepas menerima maklumat daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada Jumaat lepas.

Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Siber (Internet) Terhadap Kanak-Kanak Malaysia (MICAC) Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Unit MICAC D11 sudah memulakan proses risikan dalam talian dan menyalurkan beberapa maklumat suspek kepada pihak SKMM untuk dibuat ‘profiling’ awal sementara risikan dalam talian diteruskan bagi menimbulkan elemen yang lebih kukuh mengenai kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

“Bahagian D11 bersama SKMM sedang menjalankan risikan dan siasatan lanjut ke atas maklumat itu,” katanya ketika dihubungi.

Semalam Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengesahkan SKMM ada menerima aduan mengenai kewujudan kumpulan pengantunan seksual kanak-kanak di media sosial, dan suruhanjaya itu sedang bekerjasama dengan Meta dan polis bagi siasatan lanjut.