BERNAMA

Dua lelaki yang tular menerusi media sosial selepas merempuh kenderaan awam ketika cuba melarikan diri daripada polis di Bukit Antarabangsa didakwa di tiga mahkamah berasingan di Ampang hari ini.- Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Dua lelaki yang tular menerusi media sosial selepas merempuh kenderaan awam ketika cuba melarikan diri daripada polis di Bukit Antarabangsa, di sini didakwa di tiga mahkamah berasingan di Ampang hari ini atas pelbagai pertuduhan termasuk menghalang penjawat awam, memiliki senjata berbahaya dan dadah.
Pemandu peribadi Muhammad Putra Zulfaiz Zaidi, 32, dan mekanik Mohamad Danial Haiqal Kamal Arifin, 21, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norshila Kamarudin serta Majistret Siti Nur Ain Ariffin dan Majistret Tiong Wen Wen.
Di hadapan Hakim Norshila, dua sahabat itu didakwa bersama-sama memiliki senjata berbahaya di tempat awam iaitu sebilah parang dan sabit tanpa tujuan yang sah di Jalan Wangsa 5, Bukit Antarabangsa pada 11 pagi, 11 Oktober lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan.
Di hadapan Majistret Siti Nur Ain, kedua-dua tertuduh berdepan dua pertuduhan menghalang tugas polis mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa menghalang Koperal Muhammad Azfar Abdul Rahman dan Lans Koperal Muhammad Yashar Hassan dengan melarikan diri menaiki pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max di Jalan Wangsa 5 pada 11 pagi, 11 Oktober, manakala pertuduhan kedua melibatkan Koperal Mohamad Syisyi Pauzi di Jalan Wangsa 1 pada 5.30 pagi, pada 10 Oktober.
Di mahkamah sama, Muhammad Putra Zulfaiz didakwa secara individu atas pertuduhan memandu kenderaan pacuan empat roda berkenaan menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Dia turut didakwa atas kesalahan memasukkan dadah jenis amfetamina dan metamfetamina ke dalam badan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada 10.45 malam, 11 Oktober, mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Di hadapan Majistret Tiong pula, kedua-dua lelaki itu didakwa bersama-sama memandu kenderaan tersebut secara berbahaya di lokasi dan masa sama mengikut Seksyen 42(1) APJ 1987 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.
Mereka turut didakwa mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana gagal memberi penjelasan munasabah berhubung pemilikan peralatan mencurigakan antaranya dua tali anduh, satu pengunci besi, sepana boleh laras, pemotong wayar, tukul besi, tuil besi dan mata pahat.
Di hadapan Majistret Tiong juga, Mohamad Danial Haiqal didakwa secara individu atas pertuduhan memasukkan amfetamina dan metamfetamina ke dalam badannya pada tarikh, lokasi yang sama seperti Muhammad Putra Zulfaiz.
Bagi prosiding di hadapan Siti Nur Ain, mahkamah membenarkan Muhammad Putra Zulfaiz diikat jamin keseluruhan RM13,000 manakala Mohamad Danial Haiqal diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, Hakim Norshila dan Majistret Tiong tidak membenarkan jaminan ke atas kedua-dua tertuduh berikutan ketiadaan penjamin yang hadir pada prosiding hari ini, dan kesemua mahkamah menetapkan 26 November depan untuk sebutan semula kes.
Pada 11 Oktober lalu, polis menahan kedua-dua suspek selepas kenderaan dinaiki mereka merempuh beberapa kenderaan orang awam sebelum berjaya dipintas di persimpangan Jalan Jelatek-Jalan Taman Setiawangsa di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan