"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

2 beradik didakwa cederakan ibu

FMT Reporters
MOHAMMAD Fahmi Azrai (kiri) dan adiknya (kanan) ketika hadir di Mahkamah Majistret Port Dickson. FOTO Azrul Edham
PETALING JAYA: Dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Port Dickson, Negeri Sembilan, atas tuduhan mencederakan ibu kandung mereka dalam kejadian bulan lalu.

Lelaki berusia 29 dan 17 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.

Mengikut pertuduhan, dua beradik itu dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap ibu mereka berusia 58 tahun di sebuah rumah di Taman Pertama, Port Dickson, kira-kira 9.28 malam, 28 Sept lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326A kanun sama dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, menurut Sinar Harian.

Bagi kesalahan bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, boleh dipenjarakan sehingga setahun atau dengan denda boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya manakala mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan, boleh dipenjarakan suatu tempoh dua kali ganda tempoh maksimum.

Timbalan Pendakwa Raya Nadia Ezzati Mohd Zainal memohon mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing dibebaskan dengan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh pertama merayu dikenakan jaminan minimum kerana tidak bekerja manakala seorang lagi tertuduh memberitahu dia masih bersekolah.

Kedua-dua mereka tidak diwakili peguam.

Uthman kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan masing-masing dengan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan 16 Nov ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tiada ulasan: