"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua bekas anggota polis terlepas tali gantung kes mekanik ditembak dengan tangan bergari

Suraya Roslan
surayaroslan@mediaprima.com.my

Putrajaya: Dua bekas anggota polis terlepas tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman mati terhadap mereka dengan pemenjaraan maksimum 40 tahun bagi kesalahan membunuh seorang mekanik warga Indonesia yang ditembak tiga kali dalam keadaan tangan bergari kerana didakwa menjalinkan hubungan dengan isteri orang, 18 tahun lalu.

Panel tiga hakim yang terdiri daripada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara memutuskan keputusan itu dan memerintahkan pemohon, Koperal Ailias Yahaya, 70, yang berkerusi roda dan rakannya, Lans Koperal Saiful Azlan Shah Abdullah, 60, menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap iaitu pada 22 Januari 2006.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi membantah permohonan kedua-dua lelaki itu yang mahu menggantikan hukuman mati terhadap penjara.

"Kes ini di kategori 'kes yang paling jarang di antara yang jarang berlaku' (rarest of the rare).

"Si mati pada setiap masa, dari waktu tangkapan sehingga kematiannya berada dalam kawalan penuh pemohon," katanya.

Dalam hujahnya, Tetralina berkata, kedua-dua pemohon menahan si mati di sebuah Balai Polis Sungai Pelong, Kuala Selangor berikutan satu laporan polis yang dibuat saksi pendakwaan.

"Ailias menyatakan kepada dua saksi pendakwaan mereka boleh memukul dan melepaskan geram kepada si mati yang pada ketika itu ditahan di bilik mesyuarat balai itu.

"Pemohon bersama saksi pendakwaan membawa si mati ke Ladang Caledonia dengan sebuah kereta dalam keadaan bergari.

"Tiba di ladang itu, Saiful Azlan mengarahkan si mati keluar dari kereta dan diarahkan melutut kemudian melepaskan tembakan dari arah belakang ke arah kepala si mati sebanyak tiga kali," katanya.

Hujahnya lagi, ketika tembakan dilepaskan dalam jarak hanya enam hingga 10 kaki menggunakan pistol hak milik kerajaan, Ailias berada di depan si mati.

"Pemohon sebagai anggota polis menyalahgunakan kuasa mereka dan mengambil undang-undang di dalam tangan mereka sendiri.

"Atas alasan ini, kami memohon supaya permohonan ini ditolak dan hukuman mati dikekalkan," katanya.

Peguam Muhammad Fadhli Sutris yang mewakili kedua-dua pemohon memohon mahkamah mempertimbangkan faktor kesihatan anak guam mereka selepas menjalani tempoh hukuman penjara 18 tahun.

"Ailias yang berkerusi roda mempunyai penyakit kronik manakala Saiful Azlan pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) selama dua kali.

"Saya percaya kedua-dua pemohon amat menyesal dan mohon diberikan ihsan oleh mahkamah untuk keluar bertemu keluarga.

"Ailias mula berkhidmat dengan polis pada 1976 manakala Saiful Azlan pada 1982 serta pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang," katanya.

Sebelum itu, Ailias dan Saiful Azlan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2011 selepas didapati bersalah membunuh Yusrizal Yusuf, 38, antara 10 dan 11.30 malam, 13 Januari 2006 di Ladang Caledonia, Kilometer 22, Jalan Kuala Lumpur-Kuala Selangor, Batu Arang, Selangor.

Tiada ulasan: