"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suami ‘tukang masak dadah’, isteri tolong edar

FMT Reporters

PETALING JAYA: Lelaki bertindak sebagai “tukang masak dadah” yang menjadi dalang sindiket antara 13 ditahan dalam tiga serbuan berasingan melibatkan rampasan 312.7kg pelbagai jenis dadah bernilai RM1.48 juta.

Dalam serbuan sekitar Lembah Klang, pada 26 April, polis menahan isterinya yang berperanan menguruskan kewangan dan pemasaran dadah sindiket berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Khaw Kok Chin, berkata dalang kumpulan yang juga seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun itu ditahan bersama 12 ahli sindiket pengedaran dadah, disyaki aktif mengedar dan menjual bahan terlarang, sejak setahun lalu.

“Siasatan mendapati dalang utama mempelajari cara memasak dadah secara dalam talian, manakala isterinya bersama empat wanita lain dipercayai berperanan menguruskan kewangan dan pemasaran dadah sindiket ini,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, serbuan pertama dilakukan melibatkan sebuah kereta Honda City di Jalan Utama Lebuhraya Cheras-Kajang dan menemui 1,200 bungkusan mengandungi heroin seberat 2.44kg, selain menahan lelaki tempatan berusia 25 tahun.

“Serbuan kedua di sebuah rumah (teres) di Semenyih, menjumpai 16 bungkusan plastik lut sinar berisi bahan kimia dan dadah seberat 4.58kg, dan lapan botol kaca kimia mengandungi dadah seberat 13.64kg,” katanya.

Kok Chin berkata, susulan itu JSJN menyerbu sebuah kondominium mewah disyaki dijadikan pusat simpanan dadah yang terletak di KL Sentral, di Kuala Lumpur dan menemui sejumlah dadah jenis syabu, heroin, dan ganja.

Katanya, semakan mendapati lima suspek terbabit mempunyai rekod lampau berkait kesalahan narkotik dan jenayah, manakala lapan lagi tiada rekod.

“Semua suspek direman bermula 27 April hingga 3 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Tiada ulasan: