"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sekat penggunaan telefon pintar untuk budak bawah 13 tahun

KOSMO

PARIS – Satu laporan dikeluarkan sekumpulan pakar di Perancis mendapati, kanak-kanak tidak seharusnya dibenarkan menggunakan telefon pintar sehingga mereka berumur 13 tahun, lapor akhbar The Guardian kelmarin. 

Menurut laporan tersebut, kanak-kanak perlu disekat daripada mengakses platform-platform media sosial seperti TikTok, Instagram dan Snapchat sehingga mereka berumur 18 tahun.

Jelasnya, golongan tersebut perlu dilindungi daripada industri teknologi berasaskan keuntungan yang menggunakan strategi ‘menawan dan mengawal hati’ mereka.

“Kanak-kanak menjadi ‘barang dagangan’ dalam pasaran teknologi baharu itu. Kami mahu mereka (pemain industri) tahu bahawa kami sedang memantau perbuatan mereka,” kata laporan tersebut.

Laporan itu dikeluarkan selepas menerima arahan daripada Presiden Perancis, Emmanuel Macron, yang meminta pakar-pakar mencadangkan garis panduan berhubung penggunaan media sosial untuk kanak-kanak.

Ia bertujuan supaya Perancis dapat mengambil langkah yang belum pernah berlaku sebelum ini untuk mengehadkan pendedahan kanak-kanak terhadap peranti serta media sosial.

Macron berkata pada Januari lalu: “Mungkin ada larangan (penggunaan media sosial). Mungkin ada sekatan.”

Sementara itu, menurut ketua kajian tersebut, Servane Mouton, kanak-kanak berumur bawah umur tiga tahun sepatutnya tidak didedahkan kepada skrin termasuk televisyen, manakala mereka tidak seharusnya mempunyai telefon pintar sebelum berumur 11 tahun.

“Mana-mana telefon yang diberikan kepada kanak-kanak berumur antara 11 hingga 13 tahun seharusnya tidak mempunyai akses kepada internet,” katanya.

Justeru, pakar-pakar menetapkan umur minimum yang boleh dibenarkan untuk menggunakan telefon pintar lengkap dengan sambungan internet adalah 13 tahun. 

Tiada ulasan: