Syazwan Msar
KUALA LUMPUR: Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa wujud individu tertentu daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang cuba menghalang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) daripada membawa isu penipuan dokumen tujuh pemain kacukan Harimau Malaya ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Menurut baginda, arahan itu didakwa disampaikan kepada Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin bagi mengelakkan kes berkenaan dibawa ke peringkat lebih tinggi.
TMJ menegaskan percubaan menghalang usaha mendapatkan keadilan itu adalah tindakan yang tidak wajar dan boleh menjejaskan kepentingan bola sepak negara.
“Tetapi dia tak nak kita pergi ke CAS kerana dia cakap sendiri kepada bekas presiden (Hamidin) jangan pergi ke CAS saya tak tahu dia takut ke tak… Awak boleh tanya kepada Tan Sri Hamidin sendiri jangan bawa ke CAS, ada juga ugut kalau bawa juga ke CAS akan kena gantung atau hukumman lebih teruk.
“Kita akan pergi, kalah menang belum tentu… Dia bukan kata tak bagi pergi, tapi kalau boleh jangan pergi ke CAS,” katanya dalam sesi wawancara TMJ bersama penyokong JDT, di Johor Bahru, sebentar tadi.
Lebih mengejutkan, baginda mendedahkan wujud tekanan yang cuba menghalang FAM daripada meneruskan tuntutan ke CAS meskipun isu tersebut membabitkan maruah serta hak skuad kebangsaan.
Pada masa sama, TMJ menegaskan isu membabitkan tujuh pemain kacukan Harimau Malaya tidak boleh dipandang ringan kerana ia menyentuh kepentingan dan masa depan bola sepak Malaysia di pentas antarabangsa.
Terdahulu, Arena Metro melaporkan FAM kini berada di persimpangan penting selepas CAS mengesahkan menerima rayuan mereka terhadap FIFA, difailkan kelmarin.
Dalam e-mel rasmi pegawai komunikasi CAS, Vanessa Tracey kepada Arena Metro, menjelaskan bahawa kedua-dua pihak kini sedang bertukar dokumen bertulis mengikut peraturan prosedur CAS.
Mengikut rekod, sebelum ini Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan yang dikemukakan FAM dan tujuh pemain warisan selepas meneliti keseluruhan bukti serta hujahan dalam prosiding berkaitan kes pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain terbabit adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Dalam keputusan bertulis yang dikeluarkan, badan itu menegaskan bahawa kes berkenaan adalah pelanggaran serius di bawah Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC), sekali gus mengekalkan semua hukuman yang sudah ditetapkan sebelum ini.
Hukuman terhadap FAM iaitu denda sebanyak CHF350,000 (RM1.9 juta) dikekalkan sepenuhnya, sementara tujuh pemain terbabit turut mengekalkan hukuman masing-masing termasuk denda CHF2,000 (RM10,000) serta penggantungan selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan