"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Azam Baki: 'Rafizi tak suka saya'

'Rafizi tak suka saya' - Azam beri bayangan tamat khidmat tahun depan
Malaysiakini 

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki memberi bayangan bahawa tempoh perkhidmatannya akan tamat tahun depan.

Azam berkata kontraknya, yang telah dilanjutkan tiga kali sebelum ini, telah mendapat kritikan daripada sesetengah pihak.

"Insya-Allah mungkin tahun depan saya akan tamat perkhidmatan.

"Sudah tiga kali sambung, orang pun dah tak suka dengan saya. Rafizi (Ramli) tak suka dengan saya, dia kata jangan sambung (kontrak) Azam Baki dan sebagainya," katanya ketika berucap di majlis SPRM-UiTM 2025: Hari Integriti dan Kepimpinan di Universiti Teknologi MARA Kampus Puncak Alam, hari ini.

Azam turut menekankan bahawa penggantinya mesti komited dalam menegakkan integriti, tadbir urus yang baik dan memerangi rasuah tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Azam sebelum ini menerima lanjutan kontrak ketiganya tahun lepas, dengan tempoh perkhidmatannya akan tamat pada 12 Mei tahun depan.

Pada 3 Dis, Rafizi memberi amaran bahawa sebarang langkah untuk melanjutkan kontrak Azam buat kali keempat akan menghakis sisa kredibiliti Pakatan Harapan dalam komitmennya untuk membasmi rasuah.

Bekas menteri ekonomi itu berkata dengan Azam yang terlibat dalam kontroversi, sudah tiba masanya untuk kerajaan melepaskannya.

“Dengan pelbagai kontroversi membabitkan nama beliau, sudah sampai masanya kontrak itu tidak disambung lagi,” katanya.

Ditanya apakah langkah segera PH selepas kekalahan di Sabah, Rafizi menyatakan jawapannya “mudah dan jelas” - mulakan dengan membina kembali kredibiliti melawan rasuah.

“Mulakan dengan melantik ketua pesuruhjaya SPRM yang baru,” katanya tegas.

Tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dikecam oleh pelbagai pihak kerana memberi Azam lanjutan ketiga untuk kontraknya.

Walau bagaimanapun, perdana menteri mempertahankan keputusannya dan menegaskan bahawa Azam telah menunjukkan “keberanian yang luar biasa” dalam menangani rasuah peringkat tinggi.

Anwar menekankan bahawa ini adalah kali pertama dalam pengalamannya SPRM mengambil tindakan tegas terhadap individu berkuasa yang mempunyai berbilion aset, termasuk ahli perniagaan berpengaruh.

Tiada ulasan: