"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua wanita Filipina mengaku salah miliki kad pengenalan Malaysia palsu

Omar Ahmad
Janida (kiri) dan Noraini (kanan, baju kuning) mengaku salah memiliki kad pengenalan Malaysia palsu. Foto NSTP
Janida (kiri) dan Noraini (kanan, baju kuning) mengaku salah memiliki kad pengenalan Malaysia palsu. Foto NSTP
JOHOR BAHRU: Dua wanita warga Filipina mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki kad pengenalan Malaysia palsu, Isnin lalu.

Prosiding bersambung esok dengan pasukan pembelaan akan mengemukakan hujahan mereka.

Pengakuan berkenaan dibuat tertuduh, Nuraina Asmawil, 33, dan Janida Daimun, 53, sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Shaarmini.

Mengikut kertas pertuduhan, Nuraina yang bekerja sebagai penyelia syarikat pembersihan di sebuah pusat beli-belah dan sudah berada di negara ini sejak 5 tahun lalu, didakwa memiliki dua kad pengenalan palsu atas nama dua individu berbeza sebagai pengenalan diri tanpa kuasa sah.

Sementara itu, Janida yang menetap di negara ini sejak 2007 dan bekerja sebagai pekerja pembersihan, menghadapi pertuduhan memiliki dua kad pengenalan palsu atas nama seorang individu sebagai pengenalan diri tanpa kuasa sah.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Johor, kira-kira jam 7 malam pada 8 Disember lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 25(1)(e), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, Akta Pendaftaran Negara 1959, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN, Noor Aliah Yaacob, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Norasyikin Md Jabarulla.

Norasyikin dalam hujahnya memohon denda dikurangkan terhadap kedua anak guamnya kerana mengaku bersalah di awal pertuduhan dan menjimatkan masa mahkamah.

“Saya memohon hukuman denda yang rendah kerana tertuduh (Nuraina) adalah ibu tunggal dan mempunyai tiga anak yang masih bersekolah, serta mempunyai pendapatan RM1,500 sebulan.

“Tertuduh (Janida) adalah seorang ibu tunggal mempunyai lapan anak, yang mana empat daripadanya masih bersekolah. Tertuduh juga berpendapatan RM50 sehari selain mengalami masalah kolestrol, darah tinggi dan jantung,” hujahnya.

Bagaimanapun, Noor Aliah memohon mahkamah memberikan hukuman yang berat kerana ia membabitkan kedaulatan negara dan turut membabitkan isu keselamatan.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan setiap tertuduh membayar denda RM5,000 dan sekiranya gagal, mereka akan dipenjara selama enam bulan.

Tiada ulasan: