Zuliaty Zulkiffli
SUNGAI PETANI: Dua pelajar sekolah yang disyaki terbabit memukul seorang pelajar lelaki sehingga ditemukan pengsan dalam tandas asrama di sebuah sekolah pada 24 November lalu, akan didakwa di Mahkamah Sungai Petani, hari ini.
Dua pelajar lelaki terbabit berusia 16 dan 17 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan orang.
Media sebelum ini melaporkan, seorang pelajar lelaki ditemui pengsan dalam tandas asrama sebuah sekolah di sini dipercayai dipukul.
Berikutan itu, polis menahan empat pelajar untuk membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan dalam kenyataannya sebelum ini berkata, ibu mangsa menerima panggilan daripada guru sekolah itu pada jam 9.05 pagi memaklumkan anaknya ditemui pengsan dalam tandas sekolah itu.
Pelajar itu kemudian dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan.
Ibu mangsa memaklumkan, anaknya memberitahu dia dipercayai dipukul oleh beberapa pelajar kira-kira jam 12.10 tengah malam kejadian sehingga pengsan.
Siasatan polis mendapati, kejadian berlaku dalam asrama sekolah berkenaan dan punca kejadian dipercayai mangsa dikatakan memburukkan rakan kepada salah seorang pelajar terbabit dan suspek kemudian mengajak tiga lagi rakannya untuk mencari mangsa sehingga pergaduhan berlaku.
Bagaimanapun, hanya dua pelajar akan didakwa hari ini manakala dua lagi dibebaskan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan