"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pelajar kolej, teman lelaki dicekup khalwat, tompokan darah ditemukan pada selimut hotel

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
PENGUAT kuasa JAINJ menyerbu sebuah hotel di Segamat dan menahan pelajar kolej dengan teman lelakinya. FOTO Ihsan JAINJ
PENGUAT kuasa JAINJ menyerbu sebuah hotel di Segamat dan menahan pelajar kolej dengan teman lelakinya. FOTO Ihsan JAINJ
Segamat: Pasangan lelaki dan wanita mengaku baru berkenalan melalui media sosial sebelum mengatur pertemuan di sebuah hotel di daerah ini dengan anggapan tiada sebarang gangguan, namun perancangan mereka berakhir apabila dicekup berkhalwat malam tadi.

Serbuan dilakukan oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kira-kira jam 10.30 malam ketika menjalankan operasi pencegahan maksiat di sekitar daerah ini.

Menurut JAINJ, sebaik tiba di hotel terbabit, penguat kuasa mengetuk pintu bilik sebelum dibuka oleh seorang wanita yang juga penuntut sebuah kolej.

"Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa, wanita yang berpakaian lengkap itu cuba menutup semula pintu bilik, namun berjaya dihalang.

"Pemeriksaan lanjut dalam bilik hotel terbabit menemukan seorang lelaki sedang duduk bersila di lantai. Lelaki itu memakai seluar panjang dan kemeja T serta kelihatan dalam keadaan takut sebaik melihat penguat kuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, hasil soal siasat mendapati kedua-duanya bukan suami isteri dan masing-masing masih bujang.

"Lelaki terbabit bekerja di Segamat, manakala wanita berkenaan masih belajar di sebuah kolej di negeri lain.

"Penguat kuasa turut menemui pakaian dalam wanita terbabit yang diletakkan di atas kerusi selain keadaan katil yang bersepah," katanya.

JAINJ berkata, pemeriksaan lanjut di bilik hotel berkenaan turut menemukan kesan tompokan darah kering pada selimut namun tidak diketahui puncanya dari mana.

"Mereka menempah bilik hotel di daerah ini kerana menyangka tiada gangguan daripada pihak tertentu.

"Pasangan itu juga mengakui mereka tidak merancang untuk bernikah kerana baru sahaja mengenali," katanya.

Sehubungan itu, JAINJ mengambil keterangan kedua-dua individu terbabit dan kes disiasat sebelum mereka akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.

Tiada ulasan: