AFP
Bangkok: Seorang lelaki di Thailand, ditangkap polis baru-baru ini, kerana menembak mati isterinya di hadapan menantunya selepas wanita itu enggan memberi wang bernilai 10,000 baht (kira-kira RM1,300).
Memetik MS News, suspek, Tharadon, 51, dikatakan sudah lama bergelut dengan ketagihan dadah.
Menurut media tempatan, insiden itu berlaku kira-kira 6.30 petang pada 1 Disember lalu.
Difahamkan, Tharadon pergi ke rumah anak perempuan dan menantunya untuk meminta wang daripada isterinya, Sasithorn, 54.
Bagaimanapun, wanita itu enggan menunaikan permintaan itu.
Sasithorn juga mengelak bercakap dengan suspek dan bertindak bersembunyi di belakang menantunya.
Disebabkan kecewa, Tharadon mengambil senjata api, melepasi menantunya, lalu menembak isterinya dengan satu das tembakan.
Susulan kejadian itu, Tharadon kemudian melarikan diri ke rumah kakaknya sebelum ditangkap oleh pihak polis.
Dalam pada itu, Sasithorn dibawa ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan.
Sementara itu, semasa disoal siasat, Tharadon memberitahu polis bahawa dia bertindak demikian kerana dendam selepas isterinya enggan memberikan wang dan menyimpan kemarahan sejak 16 tahun lalu apabila ladang getahnya dijual pada 2009.
Anak perempuannya pula mendedahkan, bapanya sudah ketagih dadah bertahun lamanya, sering ditangkap atau dihantar untuk pemulihan dan baru sahaja keluar dari pusat pemulihan tiga hari sebelum kembali menggunakan methamphetamine atau syabu.
Kata anaknya, Tharadon kerap menuntut wang daripada ibunya dan mengugut untuk membunuhnya, menyebabkan Sasithorn mengelak tidur di rumah demi keselamatan.
Semasa penahanan, Tharadon didapati positif dadah dan mengaku mengambil dadah sebelum menembak isterinya.
Dia kini didakwa dan diserahkan kepada penyiasat untuk tindakan undang-undang lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan