NOOR HASLIZA NUSI

Suspek dalam keadaan tangan bergari dibawa ke rumahnya di flat Jalan Tuna, Seberang Jaya, petang tadi. Gambar DANIAL SAAD/KOSMO!
SEBERANG PERAI – “Yang kami tahu, bapa tiri tidak bekerja dan dia cemburu jika mama bercakap dengan sesiapa.”
Itu kata Ezlyn Ilyana Hardiha Shayrin Yezral, anak kepada Wan Khairul Safinah Ishak, 44, wanita yang dipercayai dibunuh suaminya di sebuah flat di Jalan Tuna, Seberang Jaya, di sini.
Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, suspek juga sebelum ini melarang ibu mereka bekerja.
“Tetapi pada awal November lalu, mama beritahu yang dia kembali bekerja di kios sebuah pasar raya sebelum minta kami belikan dia telefon bimbit.
“Mama sebelum ini kerja kilang dan mengenali lelaki itu di kilang sama, tetapi selepas berkahwin, bapa tiri melarang dia bekerja,” katanya di sini, hari ini.
Dia turut menyifatkan arwah ibunya seorang yang pendiam dan jarang berkongsi masalah yang dihadapi.
Mengulas mengenai kejadian berlaku, katanya, dia telah dihubungi adik keduanya berhubung kejadian menimpa ibu dan kemudiannya bergegas ke kediaman wanita tersebut.
“Kali terakhir jumpa mama pada dua minggu lalu ketika saya dan suami membawanya keluar makan dan main boling.
“Waktu itu, mama tidak menunjukkan sebarang perubahan. Malah, kami ada berhubung melalui WhatsApp pada Isnin lalu, dia ada minta tambah nilai telefon.
“Ketika ini, kami hanya tunggu proses bedah siasat yang akan dijalankan pagi esok dan jenazah mama dijangka dikebumikan di kampungnya di Alor Setar, Kedah esok,” katanya dalam nada sebak. -KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan