FMT Reporters
Selain itu 10 kanak-kanak antara 34 mangsa dibawa keluar bomba selepas terperangkap susulan hujan lebat dalam kejadian di Tepian Tebrau, Johor Bahru.

Bomba membawa keluar lima guru, seorang tukang masak, 18 bayi, dan 10 kanak-kanak dari sebuah tadika. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Seramai 18 bayi dan 10 kanak-kanak antara 34 mangsa terperangkap diselamatkan bomba selepas sebuah tadika di Kampung Mohd Amin, dekat Tepian Tebrau, Johor Bahru, dilanda banjir kilat.
Banjir berpunca hujan lebat lebih sejam itu memaksa pasukan penyelamat dikejarkan ke lokasi untuk membantu mengeluarkan semua mangsa ke lokasi selamat.
Jurucakap Bomba Johor, berkata sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba Larkin dihantar ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan 4.26 petang tadi.
Katanya, operasi turut dibantu sukarelawan Ihsan Johor serta anggota dari IPD Johor Bahru Selatan.
“Anggota berjaya membawa keluar lima guru, seorang tukang masak, 18 bayi, dan 10 kanak-kanak tadika ke kawasan selamat.
“Operasi diteruskan dengan membuat rondaan dan penyelamatan di kawasan berhampiran,” katanya memetik Berita Harian.
Menurut laporan, sekurang-kurangnya 15 rumah terkesan membabitkan 60 mangsa, namun tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka memandangkan banjir kilat sekitar 7 petang tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan