Ersie Anjumin
am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Perbicaraan membabitkan lima remaja yang didakwa menghina Zara Qairina Mahathir bermula hari ini, dengan dua saksi dipanggil untuk memberi keterangan di Mahkamah Bagi Kanak-kanak di sini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan mahkamah, kedua-dua saksi, yang juga guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, memberikan keterangan mereka di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Marlina Ibrahim.
"Saksi pertama (SP1) ialah seorang guru akademik, manakala saksi kedua (SP2) ialah guru Bimbingan dan Kaunseling. Pemeriksaan balas terhadap saksi kedua dijadualkan bersambung esok," kata Pegawai Perhubungan Awam mahkamah, Cindy McJuce Balitus.
Prosiding di Mahkamah Bagi Kanak-kanak itu dijalankan secara tertutup, dengan hanya pihak terbabit dibenarkan hadir.
Berikutan perintah larangan itu, pihak media akan menerima maklumat melalui pegawai mahkamah.
Semua remaja berkenaan hadir bersama ibu bapa masing-masing.
Pada 20 Ogos lalu, lima remaja berkenaan, yang identiti mereka tidak boleh didedahkan di bawah Akta Kanak-kanak 2001, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka.
Mereka didakwa bertindak dengan niat bersama dan menggunakan kata-kata menghina terhadap remaja perempuan berusia 13 tahun itu pada 15 Julai, antara jam 10 dan 11 malam. Kata-kata yang didakwa itu didengar dan berkemungkinan menyebabkan mangsa berasa tertekan.
Remaja berkenaan didakwa mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama. Kesalahan itu membawa hukuman maksimum penjara satu tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Semua tertuduh dibenarkan diikat jamin RM5,000 setiap seorang, dengan RM1,000 perlu didepositkan bagi setiap seorang.
Perbicaraan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Nik Haslinie Hashim, Husni Fairos Ramly dan Deepa Nair Thevaharan.
Seorang daripada tertuduh diwakili peguam, Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan, manakala empat yang lain diwakili peguam Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Fareez Salleh dan Sylyester Kuan.
Peguam Dominic Ghani bertindak sebagai pemerhati bagi Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS), Isaiah Majahim Majinbon bagi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Luqman Syazwan Zabidi bagi pihak ibu Zara.
Dua Penasihat Kanak-kanak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Basar Lemanda @ Basar Lamda dan Natalie Gaban turut hadir.
Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sekolahnya pada 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada keesokannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan