"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi: 'Saya bangkitkan isu pada Anwar secara dalaman kerana bersangka baik'

Malaysiakini 

Bekas menteri Rafizi Ramli menjelaskan bahawa dia telah membangkitkan beberapa kebimbangan secara dalaman semasa berada dalam kabinet, menyifatkannya sebagai "adab di sesebuah organisasi".

Dia mengulas peguam kanan Haniff Khatri Abdulla, yang mengkritiknya kerana menunggu tujuh bulan untuk membangkitkan dakwaannya bahawa SPRM telah campur tangan dalam pemilihan PKR, dan bukannya membuat laporan pada masa itu.

"Adab di dalam sesebuah organisasi, hatta di dalam keluarga pun, kita suarakan perkara itu secara dalaman untuk diambil tindakan oleh mereka yang berkuasa.

"Sama seperti pandangan mengenai SPRM, tingkah laku setiausaha politik perdana menteri, mengenai Farhash, adabnya saya perlu suarakan terus kepada perdana menteri kerana kuasa itu ada pada beliau,” kata Rafizi dalam video yang disiarkan di YouTube petang ini.

Rafizi, yang tewas dalam saingan jawatan timbalan presiden PKR kepada Nurul Izzah Anwar dan seterusnya meletak jawatan sebagai menteri ekonomi, berkata dia memberi peluang kepada Anwar, dengan harapan presiden parti itu akan membuat perubahan.

“Saya bersangka baik dan mahukan beliau membuat perubahan. Selalunya beliau nyatakan beliau akan teliti dan ambil tindakan,” tambahnya.

Namun, kata Rafizi, selepas memberi semua ruang, dia terus bersuara kerana masih merasakan ada isu yang perlu disuarakan, dan lebih-lebih lagi dia tidak lagi terikat dengan peraturan Jemaah Menteri dan kerajaan.

Ahli Parlimen Pandan itu mendakwa bahawa jika dia membangkitkan secara terbuka dakwaannya bahawa SPRM menyasarkan calon PKR yang dikaitkan dengannya, pihak berkuasa akan dengan mudah menolaknya sebagai “gimik” memandangkan dia bertanding pada masa itu.

“Pada masa itu juga orang ramai belum faham sepenuhnya dengan dinamik politik dan kelemahan pemilihan PKR tempoh hari. Pada ketika itu, semuanya akan dibakul sampahkan sebagai taktik menutup kekalahan.

"Situasinya berbeza sekarang. Orang ramai boleh melihat sendiri kontroversi demi kontroversi yang mempersoalkan kebebasan dan budaya profesional SPRM, selepas beberapa kes yang berlaku,” tambahnya.

Rafizi mengulangi bahawa cara terbaik untuk menjaga reputasi SPRM adalah dengan menggantikan Ketua Pesuruhjaya Azam Baki dan perdana menteri untuk tidak memperbaharui kontraknya.

"SPRM adalah sebuah institusi yang kita perlu lindungi. Jasanya besar terutama dalam membongkar skandal 1MDB.

"Berapa ramai pegawai SPRM yang jujur terpaksa berkorban untuk membawa (bekas perdana menteri) Najib Razak ke muka pengadilan.

"Maka kita perlu mempertahankan SPRM dari dalam dan luar, supaya tidak ada perkara yang boleh membawa persepsi yang mempersoalkan kebebasannya," tambahnya.

Terdahulu dalam video itu, Rafizi juga mengucapkan terima kasih secara sinis kepada SPRM kerana mengesahkan dakwaannya dalam kenyataan media lewat malam tentang calon tertentu yang menjadi sasaran suruhanjaya.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mengeluarkan kenyataan jam 10 malam hari Ahad.

"Jarang jabatan kerajaan keluarkan kenyataan masa orang nak tidur hari Ahad ni,” katanya.

Namun, Rafizi mendakwa SPRM tidak memberikan butiran tertentu yang sepatutnya dapat membantu untuk lebih memahami perkara tersebut.

"Contohnya: Pertama - apabila SPRM tidak menyatakan bilakah perkara itu berlaku, kerana tarikh kejadian itu berlaku mengesahkan garis masa kejadian, iaitu semasa kemuncak pemilihan PKR April dan Mei yang lalu.

"Kedua - apabila SPRM tidak menyatakan tuduhan yang disiasat, iaitu pembelian sebuah flat kos rendah yang lelong pada harga murah yang sememangnya perlu dibayar tunai.

"Sudah tentu SPRM tidak boleh menyatakan perkara-perkara ini di dalam kenyataannya kerana ia hanya mengesahkan apa yang saya sebut," katanya.

Tambahan pula, Rafizi berkata garis masa perbualan telefonnya dengan Anwar boleh disahkan dengan menyemak rekod telefon.

"Saya hanya perlu menunjukkan bil telefon saya bagi bulan itu untuk mengesahkan bahawa perbualan itu memang berlaku dan garis masa itu tepat dengan siasatan SPRM,” tambahnya.

SPRM sebelum ini menafikan dakwaan Rafizi bahawa pegawainya telah “mengepung” rumah calon PKR, menjelaskan bahawa pegawai penyiasat telah pergi ke kediaman tersebut untuk bertemu individu tersebut dan menjalankan pemeriksaan untuk mendapatkan bukti.

Kata SPRM, ia adalah kaedah penyiasatan standard, termasuk elemen kejutan untuk mengelakkan risiko bukti dimusnahkan.

Selepas mengesahkan bahawa individu itu tiada di rumah pada masa itu, pegawai-pegawai SPRM itu dikatakan beredar.

"Keesokan harinya, individu tersebut secara sukarela hadir ke pejabat SPRM, keterangannya dirakam, dan dia dibebaskan tanpa tahanan. Semua tindakan adalah mengikut keperluan dan prosedur penyiasatan," kata SPRM.

Tiada ulasan: