Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my

JEFRI dijatuhi hukuman penjara lima bulan selepas mengaku salah mencabul kehormatan seorang wanita, Oktober lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Melaka: "Mohon hukuman saya diringankan seringan-ringannya... saya tertekan kerana kematian isteri dan perlu menjaga empat anak."
Itu rayu Jefri Joris, 46, sebelum Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadapnya atas kesalahan mencabul seorang wanita di hadapan sebuah masjid, Oktober lalu.
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Uthman Abd Ghani selepas meneliti fakta kes, hujah pendakwaan serta rayuan tertuduh.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman berkenaan berkuat kuasa mulai 16 Oktober lalu, iaitu tarikh dia ditangkap.
Mengikut pertuduhan, Jefri didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan seorang wanita berusia 31 tahun.
Perbuatan itu dilakukan di kawasan Lebuh Alor Gajah–Melaka Tengah–Jasin (AMJ) berhampiran pintu gerbang Masjid Al Abrar, Semabok, pada 6 Oktober lalu, sekitar 11.50 pagi.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan fakta kes, sebelum kejadian motosikal mangsa kehabisan petrol sebelum dia meminta bantuan tertuduh untuk membeli minyak dan memberikan RM5.
Tertuduh kemudian kembali dan bertanyakan botol kosong untuk mengisi petrol sebelum tiba-tiba menyentuh dada mangsa, menyebabkan wanita itu terkejut dan menuntut wangnya dikembalikan.
Namun sebelum beredar dengan menunggang motosikal, tertuduh sekali lagi mencabul mangsa dan sempat bertanya: "Boleh saya pegang dada awak lagi?"
Mangsa yang bimbang keselamatan dirinya terus membuat laporan polis sehingga membawa kepada penangkapan tertuduh.
Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan