Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Hidayah Bahaudin dan Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
am@hmetro.com.my

RUMAH pelacuran yang diserbu.
Kuala Lumpur: Tidak terkira jumlah serbuan maksiat dan tangkapan dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), polis mahupun Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sejak lebih tiga dekad lalu.
Anehnya aktiviti pusat-pusat pelacuran di Jalan Petaling di sini yang terkenal sebagai nadi pelancongan ibu kota masih kekal beroperasi dan mencemarkan imej negara.
Lokasi itu yang mendapat jolokan 'rumah zina 5 minit' atau pusat pelacuran 'kos rendah' bagaikan kebal dari tindakan undang-udang dengan menawarkan khidmat pelacur wanita warga asing terutama dari Indonesia, Bangladesh dan India.
Ternyata tindakan pegawai dan penguatkuasa DBKL memecahkan ratusan dinding papan lapis pada bilik maksiat serta merampas tilam noda sebelum ini, langsung tidak mendatangkan kesan kekal kepada sindiket ini.
Di celah hiruk-pikuk kaki lima yang dipenuhi lampu neon dan deretan gerai pakaian dan cenderamata, ternyata aktiviti persundalan ini masih tetap 'bernyawa' walaupun digempur berulang kali.
Ia dibuktikan hasil penyamaran dilakukan wartawan selama dua hari di lokasi yang menjadi tumpuan ribuan pelancong asing membeli belah dan menjamu selera di sini.
Pemerhatian dan siasatan dilakukan mendapati terdapat sekurang - kurangnya lima premis dijadikan pusat pelacuran di kiri dan kanan deretan kedai dua tingkat di sepanjang Jalan Petaling di sini yang menjadi lokasi tumpuan aktiviti beli belah.
Kebanyakan pusat pelacuran ini berada tidak jauh dari pintu gerbang laluan Jalan Petaling yang bersambung dengan Jalan Sultan di sini.
Tidak sukar untuk mengenal pasti lokasi pusat maksiat ini berikutan terdapat seorang atau dua lelaki duduk berkawal di kaki lima pintu masuk premis.
Mereka sekadar mengangguk, tidak bertanya apa-apa. Seolah-olah sudah tahu tujuan pengunjung lelaki yang singgah masuk ke situ.
Menjenguk dari pintu masuk utama, wartawan sudah dapat meneka 'aktiviti hangat' disajikan susulan ruang dalamannya disimbahi cahaya lampu merah.
Sebaik berjalan melalui lorong kecil sepanjang lima meter, wartawan menemui ruangan lebih luas di dalamnya menempatkan deretan bilik-bilik kecil berdindingkan kepingan kayu lapis.
Di setiap hadapan pintu bilik ini, wanita-wanita putih gebu sedia menanti sambil menghadiahkan senyuman paling manis kepada lelaki yang mencari 'hiburan' di lokasi itu.
Rata-rata wanita ini sengaja memakai pakaian mencolok mata selain mengenakan solekan tebal. Tujuannya jelas, bagi memikat dan menggoda nafsu setiap lelaki yang melintasi hadapan mereka.
"Yok abang. Murah sahaja. RM60," ujar salah seorang pelacur wanita yang mengenakan skirt merah tanpa coli.
Ternyata harga ditawarkan tidak tetap berikutan ada antara pelacur terbabit menurunkan harga serta merta menjadi RM40 atau RM50 sekiranya ada antara lelaki terbabit tidak menunjukkan rasa minat.
"50 ringgit saja. Cepat ayuh!," ujar seorang lagi wanita bertubuh kecil sambil tersenyum gatal.
Wartawan yang melintasi hadapan wanita terbabit terkejut apabila lengan kiri tiba-tiba ditarik masuk ke dalam kamar. Wartawan cuba menepis dan menjauhkan diri dari kumpulan wanita itu.
Pautan kuat pada tangan penulis akhirnya dilepaskan selepas penulis tidak menunjukkan rasa minat.
Tiada langsung rasa malu berikutan mereka sedaya upaya memastikan 'jualan tubuh' laris tanpa perlu rundingan panjang atau tawar menawar.
Ternyata gelagat wartawan dan rakan diperhatikan dari jauh oleh salah seorang 'penjaga' yang berada di sudut 'rumah ayam' itu.
Bagaikan tidak berpuas hati apabila lelaki itu tiba-tiba mengherdik ke arah wartawan yang dilihatnya tidak acuh untuk melanggan pelacur ditawarkan.
"Mau tengok-tengok saja ka? mau makan angin pergi lain tempat. Tak mau ambil perempuan...boleh keluar!," katanya sambil melirik tidak puas hati.
Gelagat samseng terbabit yang menghalau wartawan turut menyebabkan beberapa lelaki warga asing bergegas meninggalkan premis itu.
Memasuki premis pelacuran ke dua yang terletak kurang 10 meter dari premis pertama, wartawan mendapati terdapat tiga lelaki 'berkawal' di pintu masuk utama.
"Masuk saja. Banyak ada. Boleh pilih," ujar salah seorang lelaki terbabit yang bersikap lebih ramah.
Sepanjang penyamaran dunia tersembunyi dilakukan, wartawan menganggarkan terdapat sekitar lebih 100 wanita warga asing yang mengisi pusat-pusat maksiat itu.
Biarpun tersembunyi daripada pandangan umum namun masih terdapat pelancong asing yang melintasi lorong sempit itu dan menyedari kewujudan 'rumah' maksiat berkenaan.
Berdasarkan pemerhatian wartawan yang pernah menyertai beberapa operasi penguatkuasaan di lokasi sama, sindiket pelacuran digempur seolah-olah sudah lali dengan risiko dan menjadi sasaran operasi pihak berkuasa.
Kegiatan mereka akan pulih dalam masa beberapa hari dan dinding-dinding bilik maksiat dirobohkan akan dibina semula,
Sebagai wartawan, ini bukan sekadar pendedahan kegiatan pelacuran murah di tengah ibu kota. Ia kisah eksploitasi manusia, maksiat tanpa noktah dan pencemaran imej negara yang bakal menarik 47 juta pelawat antarabangsa sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan