"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suami isteri curi ikan cencaru, kicap dan pewangi ketiak dijel sehari

DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas mengaku bersalah mencuri pelbagai barang termasuk ikan cencaru, kicap dan bir di Mahkamah Majistret Melaka, hari ini. - Foto oleh ARIF HAMIZAN MISKON
MELAKA – Sepasang suami isteri dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM400 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri barangan di sebuah pasar raya termasuk ikan cencaru, kicap, bir dan pewangi ketiak, dua tahun lalu.

Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Tengku Azman Tengku Jalal, 46 dan Siti Nurulaini Johari, 40, yang membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama didapati telah mencuri lima ekor ikan cencaru, kicap Kipas Udang manis dan empat tin minuman Guinness Foreign Extra Stout.

Tertuduh turut mencuri dua Rexona Shower serta Rexona Advance dan WC precut 12 keping seberat 1.6 gram yang keseluruhannya bernilai RM70.69 milik pasar raya Lotus Cheng, Taman Paya Rumput Utama, Melaka.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada kira-kira pukul 6.30 petang 27 September 2023.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Peguam Amritpal Singh yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan diberikan dengan alasan tertuduh lelaki hanya bekerja sebagai penghantar barang, manakala isterinya suri rumah dan menghidap penyakit buah pinggang.

Hujahnya lagi, pasangan itu juga perlu menanggung tiga anak yang masih kecil, selain telah insaf.

Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliyah Ahmad Kamarulnajuib bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara satu hari bermula hari ini dan denda RM400 atau dua bulan penjara jika gagal bayar terhadap kedua-dua mereka. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: