KOSMO

Tangkap layar video menunjukkan keadaan di gerai mi tersebut. - TikTok
JAKARTA – Sebuah gerai menjual mi babi di Bandung, wilayah Jawa Barat mengundang kecaman ramai kerana pekerjanya didakwa mengelirukan pembeli dengan memakai pakaian menyerupai orang Islam, lapor laman berita Detik semalam.
Gerai itu terletak di Jalan Cibadak dan sudah beroperasi selama 22 tahun.
Namun, video mengenainya tular baru-baru ini apabila pekerja dilihat memakai kain pelekat dan kopiah, selain pekerja wanita memakai tudung.
Keadaan itu mencetuskan kemarahan ramai pengguna beragama Islam yang menyifatkan kedai tersebut sengaja mengelirukan pembeli dengan berpakaian sedemikian.
Menurut orang ramai, tindakan itu menyebabkan pelanggan beragama Islam yang tidak tahu mengenai status halal gerai tersebut pergi membeli makanan di situ.
Dalam satu video tular di platform TikTok, gerai tersebut dilihat dikunjungi ramai pelanggan, manakala pekerjanya menyiapkan pesanan dengan pantas.
Video kemudian dihalakan ke arah pekerja yang memakai tudung dan kopiah, menyebabkan ramai menyelar tindakan tersebut kerana premis itu diketahui menjual mi babi.
Kritikan serupa juga disuarakan oleh pakar makanan halal, Dian Widayanti, yang menganggap penggunaan elemen Islam dalam konteks itu sebagai tidak sesuai.
“Sejujurnya, saya tidak faham penjual yang memakai pakaian seperti orang Islam. Mereka memakai kopiah dan tudung tetapi menjual daging babi,” kata Dian.
Dian menjelaskan bahawa terdapat banyak gerai makanan tidak halal di kawasan Cibadak.
Justeru, beliau berharap agar penjual dapat memberikan maklumat langsung dan menyediakan papan tanda visual di lokasi untuk mengelakkan salah faham. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan