"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tanya Mahathir, Tommy Thomas mengapa Rosmah boleh lepas - Anwar

Malaysiakini 

Perdana Menteri Anwar Ibrahim mencadangkan agar bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan bekas peguam negara Tommy Thomas dipertanggungjawabkan atas pembebasan Rosmah Mansor dalam kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai berjumlah RM7 juta.

Ini susulan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang menarik balik rayuan terhadap pembebasan isteri bekas perdana menteri Najib Razak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Menolak dakwaan wujud campur tangan politik, Anwar berkata Rosmah didakwa pada 2018 tetapi mahkamah kemudian membebaskannya kerana kes tersebut “lemah”.

“Saya nak jelaskan, kes mahkamah ini bukan kerana dia itu penyokong kita, seteru kita, tetapi ikut lunas jalur hukum. Bila didakwa, 2018. Apakah proses berjalan? Ya. Apa kata hakim? Lemah sangat kes itu.

“Tanya siapa peguam negara 2018? Siapa perdana menteri? Kes itu terlalu lemah dan predikatnya alasan itu sangat tidak berasas.

“Kalau hakim berkata begitu dan peguam negara teliti semula, jadi dia ambil keputusan tidak merayu,” katanya yang dipetik oleh Harian Metro selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nur Al-Hidayah, Kampung Kelibang, di Langkawi.

Anwar menegaskan keputusan AG bagaimanapun tidak menjejaskan perjalanan kes lain membabitkan Rosmah dan ia masih berjalan.

“Kes lain berjalan seperti biasa. Tetapi saya ingin mengingatkan rakan-rakan, baik pembangkang atau kerajaan ataupun badan kerajaan atau badan guaman.

“Harus ingat bahawa prinsip keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang mesti dipelihara. Jangan kerana kita tidak senang dengan satu dua kelompok, maka kita mesti putuskan ikut selera politik masing-masing,” katanya.

Rosmah dan Najib didakwa ketika pentadbiran Pakatan Harapan selama 22 bulan antara 2018 hingga 2020. Isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail, merupakan timbalan perdana menteri ketika itu.

Ketika dihubungi, Thomas hanya menjawab: “Tiada komen.”

AGC dalam kenyataannya berkata mereka tidak akan meneruskan rayuan terhadap pembebasan Rosmah daripada 12 pertuduhan pengubahan wang haram dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada LHDN kerana tiada prospek untuk mensabitkannya.

"Antara faktor yang telah diambil kira dalam mencapai keputusan tersebut ialah sekiranya rayuan diteruskan, pihak pendakwaan tidak akan dapat membuktikan kes melampaui keraguan munasabah sebagaimana diperlukan dalam pembuktian sesuatu perbicaraan jenayah.

“Ini memandangkan saksi-saksi penting yang diperlukan untuk membuktikan pertuduhan terhadap tertuduh telah meninggal dunia dan tidak lagi dapat dikesan," kata Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan.

Tiada ulasan: