MOHD. FAHMI ISMAIL
Bomba sedang memadamkan kebakaran babitkan kereta jenis BMW di Lebuh Raya Besraya, Kuala Lumpur malam ini. - GAMBAR JBPM
KUALA LUMPUR – Pemandu kereta jenis BMW 328i berjaya menyelamatkan diri selepas kenderaannya terbakar dalam kejadian di Kilometer (KM) 13.4, Lebuh Raya Besraya arah Kuchai Lama, di sini malam ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam kenyataannya berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 8.21 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Razak digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba kereta BMW didapati sedang marak terbakar. Kebakaran melibatkan 100 peratus kenderaan itu namun tiada mangsa terlibat,” katanya di sini malam ini.
Tambahnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan kesesakan trafik berlaku di Lebuh Raya Besraya, KM 13.4 dari Salak Jaya menuju Persimpangan Kuchai apabila sebuah kereta dilaporkan terbakar.
Insiden yang berlaku pukul 8.39 malam itu menyebabkan lorong kiri dan tengah terhalang. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:
Catat Ulasan