N Faizal Ghazali
Pengalisis berpandangan ugutan MCA untuk meninggalkan BN tidak akan ke mana, bahkan pilihan untuk bergerak solo dianggap sebagai langkah terkebelakang, selain banyak risiko yang perlu dipertimbangkan ketika realiti semasa menunjukkan tiada mana-mana parti gagal untuk berkuasa secara bersendirian.
Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Mazlan Ali, berpendapat dapat difahami kekecewaan parti berasaskan kaum Cina itu sudah berada di kemuncaknya apabila BN masih bersama PH dan mungkin akan terus bekerjasama pada PRU akan datang.
Menurutnya, situasi itu memang tidak menyenangkan MCA kerana parti itu hanya ada dua kerusi di parlimen, malah tiada wakil dapat memainkan peranan dalam kerajaan perpaduan sebagai jemaah menteri.
"Inilah yang mengecewakan MCA. Saya fikir kalau ditanya apakah tindakan MCA - adakah akan keluar BN? Saya fikir tidak mudah sepertimana MIC yang sudah banyak kali buat ugutan nak keluar BN.
"Akhirnya parti itu masih bersama BN. (MIC) kata nak masuk PN tak jadi juga. Banyak risiko yang perlu difikirkan parti-parti komponen BN, dan MCA pun sebut mereka tak berhasrat untuk masuk PN kerana ada PAS.
"PAS dianggap akan menjauhkan undi orang Cina kepada MCA kalau mereka bergabung.
"Jadi sekarang MCA berada di persimpangan. Mereka tidak akan menyertai PN, tetapi pada masa sama bertegas mahu mengambil haluan sendiri jika Umno kekal menjalin hubungan dengan PH," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM itu menegaskan betapa MCA tidak akan berani memilih jalan untuk bergerak sendirian kerana ia diyakini bakal membawa parti itu ke jalan yang gelap.
"Kalau bertanding bersedirian alamatnya MCA tidak akan relevan lagi dalam politik, dan akan kalah di semua kerusi termasuk kawasan parlimen Ayer Hitam dan Tanjung Piai," hujah Mazlan.
Untuk rekod, MCA gagal mencatat keputusan pilihan raya yang baik sejak 2018.
Pada PRU ke-14 itu satu-satunya kerusi yang dimenangi parti tersebut ialah Ayer Hitam. Ia dimenangi presidennya, Wee Ka Siong, yang mempertahankannya dengan kelebihan hanya 303 undi.
Bagaimanapun MCA mendapat tambahan satu lagi kerusi dalam PRK Tanjung Piai yang berlangsung pada 16 Nov 2019. Calon MCA yang mewakili BN, Wee Jeck Seng, merampas kerusi tersebut daripada PH dengan majoriti 15,086 undi.
Menagih kerusi selamat untuk PRU
Apabila PRU ke-15 diadakan pada 2022, jumlah kerusi yang dimenangi MCA untuk Dewan Rakyat kekal dua, masing-masing melalui Ka Siong dan Jeck Seng.
Mazlan berkata, dalam keadaan sekarang PAS memang mengambil pendekatan yang lunak dan menyatakan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan MCA menyedari PN boleh mendapat manfaat.
Katanya jika parti seperti MCA dan MIC menyertai gabungan pembangkang itu, ia akan memberi impak positif juga kepada PAS.
"Sebab ia akan memberi mesej bahawa PN bukanlah gabungan yang memperjuangkan Melayu-Islam semata-mata, tetapi turut menjaga orang bukan Melayu," katanya.
Sementara itu Mazlan yakin idea dilontarkan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Annuar Musa, supaya mewujudkan semula Muafakat Nasional dengan menggabungkan PAS, Bersatu, dan BN hanya sekadar mengulangi naratif lama.
"Saya tengok dalam isu ini, idea tersebut tidak akan ke mana juga. PAS juga tidak akan ke mana juga walapun lunak ketika MCA berkeras dengan BN.
"Memang tidak mudah untuk MCA meninggalkan BN dan menyertai PN, bahkan itu jalan yang sangat sukar bagi MCA," kata Mazlan lagi.
Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Perlis, Muhammad Izmer Yusof, pula berpendapat polemik dicetuskan Ka Siong dalam perhimpunan agung tahunan partinya itu baru-baru ini adalah sandiwara semata-mata.
Hal itu kerana, kata Izmer, MCA memang sudah hilang kekuatan yang pernah mereka ada. Malah dalam situasi terkini, katanya, nasib parti itu sama saja seperti MIC, Muda dan Pejuang.
Dalam erti kata lain, katanya, jika MCA kekal bersama BN parti itu dijangka tidak dapat menyumbang jumlah undi yang signifikan kepada gabungan tersebut.
Sebaliknya jika MCA keluar meninggalkan BN pun, mereka tetap akan gagal meraih sokongan pengundi Cina yang majoritinya menyokong DAP.
"Jadi apa kekuatan yang MCA ada kalau pilih untuk menyertai PN selain keperluan pembahagian kerusi? Apa MCA boleh sumbangkan kecuali menagih kerusi-kerusi selamat menjelang PRU akan datang?
"Cuma perlu diingat, untuk jangka masa panjang situasi untuk MCA itu (dalam PN) mungkin berubah," katanya.
Ada peluang lain buat MCA
Dia turut berpendapat MCA kini berada dalam posisi sukar dan tidak ada sebarang langkah yang berpotensi memberi impak yang besar kepada parti terbabit.
"Kekal dalam BN dan PH pun tak ke mana, bergerak solo lagi teruk. MCA ini parti kaum Cina, takkan nak bertanding di kawasan DAP semata-mata.
"Jika masuk PN pun tidak ke mana juga, kecuali MCA boleh bawa masuk modal (dana) untuk PRU, tetapi pada akhirnya yang menjadi kayu ukur keberkesanan mereka ialah pengaruh di peti undi," jelasnya.
Tambah Izmer, jika penolakan pengundi Cina terhadap DAP dalam PRN Sabah baru-baru ini menjadi sandaran pertaruhan langkah MCA seterusnya, ia juga diyakini bakal menjadi percaturan salah.
Katanya keputusan PRN Sabah adalah kes tersendiri yang tidak boleh dijadikan kayu ukur atau dalil untuk strategi di Semenanjung Malaysia.
Buktinya, menurut Izmer, dalam PRN tersebut semua parti dari Semenanjung Malaysia mencatat prestasi merosot teruk.
"Dalam konteks politik Malaysia ini, apa yang perlu difahami ialah, ada tiga segmen berbeza konteksnya iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Ketiga-tiga lokaliti ini boleh dikatakan sebagai lain padang, lain belalang," jelasnya.
Sementara itu penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia, Nur Ayuni Mohd Isa, pula menjelaskan dalam situasi semasa MCA masih perlu membentuk kerjasama dengan parti-parti lain.
Katanya, jika parti dipimpin Ka Siong memilih bergerak secara solo, langkah itu dilihat kurang strategik.
Antara pertimbangan yang perlu diteliti MCA, katanya, ialah sama ada mereka mahu berada dalam blok kerajaan, atau menjadi pembangkang selepas PRU ke-16 nanti.
"Itu pun jika ada kerusi yang dimenangi mereka.
"Sekarang ini sepatutnya waktu yang sesuai buat MCA menarik sokongan pengundi yang menolak BN dan DAP.
“Ia lebih kurang sama seperti situasi Bersatu meraih undi daripada pemilih yang memprotes Umno pada PRU lalu," katanya.
Nur Ayuni juga beranggapan MCA sepatutnya tampil menjuarai isu-isu kaum Cina ketika kemerosotan pengaruh DAP dipamerkan dalam PRN Sabah.
"Situasi penolakan (pada BN dan DAP) sudah berlaku di PRN Sabah. Jadi mereka perlu tampil jadi juara untuk pengundi Cina," kata Nur Ayuni yang kini menjalani penyelidikan pascadoktoral di University of London.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan