FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan meliwat anak tirinya yang juga kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) Sindrom Down berusia 11 tahun, minggu lalu.
Tertuduh yang juga seorang mekanik, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason, lapor Harian Metro.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii iaitu dengan memasukkan kemaluannya ke dalam dubur mangsa.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Bandar Universiti, Seri Iskandar, Perak Tengah kira-kira 7 malam, 2 Disember lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Nor Arfahanim tidak menawarkan jaminan berikutan mangsa masih kanak-kanak.
Bagaimanapun katanya, jika mahkamah membenarkannya, pendakwaan menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin yang bukan dalam kalangan ahli keluarga.
Namun tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan memandangkan pendapatannya hanya RM1,800 sebulan manakala isterinya yang berniaga pakaian terpakai berpendapatan sekitar RM500 sebulan selain menyara dua anak termasuk mangsa.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin dengan dua syarat tambahan iaitu perlu melapor diri ke balai polis pada setiap awal bulan serta tidak mengganggu mangsa serta saksi sehingga kes selesai dibicarakan.
Sebutan semula ditetapkan pada 29 Januari bagi serahan dokumen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan