"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis kesan suspek lastik pelancong wanita China

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Polis giat mengesan individu yang melastik seorang pelancong wanita warga China di Jalan Kota Kinabalu Lama 2, berhampiran bangunan sebuah bank, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden kira-kira 7 malam itu yang membabitkan pelancong wanita berusia 31 tahun.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa sedang berjalan bersama suaminya sebelum tiba-tiba terkena objek dipercayai dilastik dari sebuah kenderaan yang sedang bergerak.

"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami lebam pada bahagian badan sebelum membuat laporan polis.

"Kes kini disiasat mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana perbuatan yang membahayakan keselamatan orang lain," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata pihaknya memohon kerjasama orang ramai yang berada di lokasi kejadian pada waktu berkenaan untuk tampil membantu siasatan.

Beliau turut meminta mana-mana pemilik kenderaan yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) dan melalui Jalan Kota Kinabalu Lama 2 atau Jalan Pantai antara jam 6.45 petang hingga 7.15 malam pada tarikh kejadian supaya menyalurkan maklumat kepada polis.

"Sebarang maklumat boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat, Sarjan Damian Frederick di talian 017-6561513 atau Bilik Gerakan IPD Kota Kinabalu di talian 088-310208," katanya.

Tiada ulasan: