FMT Reporters
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan seorang bekas menteri bahawa ia digunakan untuk menyiasat calon-calon bertanding pada pemilihan PKR Mei lepas.
Menyifatkan tuduhan itu tidak benar mahupun berasas, SPRM menegaskan pihaknya hanya akan menjalankan siasatan berdasarkan aduan atau maklumat yang diterima.
“Setiap aduan yang mempunyai asas akan melalui proses pengesahan dan siasatan mengikut undang-undang serta prosedur yang ditetapkan,” kata suruhanjaya itu dalam kenyataan.
Terdahulu dilaporkan bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli mendakwa seorang calon yang sehaluan dengannya didakwa, ditahan dan disiasat SPRM.
Rafizi yang tewas dalam persaingan jawatan timbalan presiden pada pemilihan PKR itu mendakwa, pegawai SPRM mengepung rumah individu terbabit, menakutkan isteri dan anak-anaknya.
Menjelaskan dakwaan itu, SPRM berkata, pegawai penyiasatnya hadir ke rumah tersebut untuk bertemu individu terbabit serta mendapatkan bahan bukti.
Namun, selepas individu tersebut didapati tiada di rumah, pegawainya beredar.
“Pada keesokan hari, individu berkenaan telah hadir sendiri ke pejabat SPRM, rakaman percakapannya diambil dan beliau dibebaskan tanpa penahanan,” kata SPRM menambah, semua tindakannya adalah selaras dengan keperluan dan tatacara siasatan.
Sehubungan itu, SPRM menyeru semua pihak agar tidak membuat tuduhan tidak berasas secara terbuka tanpa bukti kerana ia boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap institusi penguatkuasaan negara.
“Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati boleh mengemukakan aduan melalui saluran rasmi yang tersedia, seperti polis atau Jawatankuasa Aduan (JKA) SPRM. Ini mekanisme yang sah dan telus untuk menilai sebarang dakwaan salah laku.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan