"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bunyi misteri dari hutan resahkan penduduk

KOSMO
Beberapa penduduk menyiasat punca bunyi misteri tersebut. - RMOL JATENG
JAKARTA – Penduduk sebuah kampung di Kalibening, wilayah JawaTengah gempar apabila bunyi misteri sering didengari datang dari sebuah kawasan hutan berhampiran kediaman mereka, lapor laman berita RMOL Jateng semalam.

Suara itu mula didengari kelmarin sekitar pukul 5.12 petang (waktu tempatan) di Kampung Majatengah, dan bunyinya turut sampai hingga ke Kampung Kalibening.

Ketua Kampung Parakan Majatengah Kalibening, Purwanto berkata, suara dipercayai haiwan liar itu bermula sejak kelmarin dan berlanjutan sehingga malam semalam.

“Ia membuatkan penduduk cemas,” katanya.

Menurut Purwanto, dia dan penduduk lain pergi untuk memeriksa punca bunyi itu disebabkan bunyinya yang kuat. 

“Namun, apabila kami menghampiri, bunyi itu semakin jauh. Justeru, kami mengesyaki ia adalah bunyi haiwan liar,” katanya.

Seorang penduduk dikenali sebagai Salim berkata, bunyi bising dari hutan itu seakan-akan ‘merebak’ ketika beberapa penduduk merakamnya. 

“Oleh kerana terdapat begitu banyak bencana yang berlaku kebelakangan ini, sudah tentu fenomena ini menyebabkan panik dalam kalangan penduduk,” katanya.

Setakat ini, tiada pengesahan rasmi dibuat berhubung bunyi tersebut, manakala pihak berkuasa menasihati penduduk agar sentiasa berwaspada. – AGENSI

Tiada ulasan: