Aliakbar akan sokong Hajiji di DUN Sabah, kata PAS
Faiz Zainudin
Kenyataan PAS itu bercanggah dengan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, yang berkata Adun Karambunai akan berada dalam blok pembangkang.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata Aliakbar Gulasan menyokong Hajiji Noor bagi mengukuhkan kepimpinan beliau sebagai ketua menteri dan demi kestabilan Sabah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Adun Karambunai Aliakbar Gulasan akan menyokong pentadbiran Hajiji Noor di Sabah, kata PAS.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata walaupun tidak berada dalam Kabinet negeri, Aliakbar bukanlah orang asing dalam pentadbiran Hajiji kerana sebelum ini beliau pernah berkhidmat sebagai Adun lantikan.
“Sekarang beliau dipilih oleh rakyat, maka keputusan ini akan membantu beliau melaksanakan tugas sebagai Adun Karambunai.
“Walaupun tidak berada dalam Kabinet kerajaan Sabah, namun beliau diberi mandat untuk menyokong mana-mana perkara baik yang dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya kepada FMT.
Kenyataan Tuan Ibrahim itu bercanggah dengan pengumuman Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin semalam, yang berkata Aliakbar akan berada dalam blok pembangkang.
Tuan Ibrahim berkata langkah itu juga bagi mengukuhkan mengukuhkan kepimpinan dan kestabilan kepimpinan Hajiji sebagai ketua menteri.
Katanya, keputusan itu akan dimaklumkan kepada pucuk pimpinan PAS dan menerusi mesyuarat PN.
Aliakbar mencipta sejarah apabila menang kerusi sulung PAS di Sabah pada PRN 29 Nov lalu, apabila meraih 7,054 undi dalam saingan 11 penjuru, menewaskan calon Warisan (6,689 undi), Gabungan Rakyat Sabah (4,818 undi) dan Barisan Nasional (4,475 undi).
Gabungan Rakyat Sabah memenangi 29 kerusi. Gabungan itu kemudian bekerjasama dengan Pakatan Harapan, BN, Upko dan lima calon bebas untuk membentuk kerajaan negeri.
Warisan, yang memenangi jumlah kerusi kedua terbanyak (25), berada dalam blok pembangkang bersama Presiden Parti Solidariti Tanah Airku, Jeffrey Kitingan, yang dipilih semula di Tambunan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan