Baharom Bakar
am@hmetro.com.my

SHARIFAH Anis (kanan) melihat kecederaan dialami Roslan (kiri) di kediamannya, hari ini. FOTO Baharom Bakar
Kuala Terengganu: Bekas pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) patah tulang hidung dan mengalami keretakan pada kedua-dua rahang selepas dipercayai dipukul pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kemalangan di Jalan Pasir Panjang, di sini, semalam.
Roslan Ngah, 63, berkata kejadian berlaku secara tiba-tiba ketika dia turun dari kenderaan untuk melihat kerosakan dialami selepas dilanggar pemandu Perodua Alza, jam 5 petang.
Sebelum kejadian, Roslan berkata, dia dan isteri, Sharifah Anis Syed Mohamad, 37, dalam perjalanan pulang ke rumah selepas minum di Pantai Teluk Ketapang, Seberang Takir.
"Kereta dipandu isteri dilanggar daripada belakang ketika cuba membelok ke kiri jalan selepas memberi isyarat.
"Saya turun daripada kereta untuk memeriksa kerosakan, dan cuba bertanya kepada seorang daripada lelaki berkenaan punca kereta kami dilanggar.
"Tetapi secara tiba-tiba tiga lelaki termasuk pemandu MPV terbabit memaki hamun, sebelum menyiku muka serta memukul saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.
Katanya, tiga lelaki kemudian menaiki kenderaan dan melarikan diri selepas mendapati penduduk kampung mengerumuni lokasi kemalangan.
"Saya tidak mempunyai musuh dan bergaduh dengan sesiapa sebelum kejadian berlaku.
"Isteri sudah membuat laporan mengenai kejadian itu, dan kita serahkan kepada polis untuk melakukan siasatan dan mengambil tindakan lanjut," katanya.
Roslan yang bekerja di syarikat insurans mengakui tidak mengenali pemandu dan dua penumpang Perodua Alza berkenaan.
Insiden Roslan dipukul tular di media sosial selepas anaknya dikenali Daniel Haiqal memuat naik video berkenaan.
Melalui paparan video itu, seorang lelaki memakai jaket dan topi hitam memegang bahu dan menyiku muka Roslan di tepi jalan ketika cuaca hujan.
Sementara itu, Sharifah Anis yang merakamkan kejadian itu berkata, kelibat kenderaan dinaiki lelaki itu sudah dikesan jirannya berhampiran rumah sejak Jumaat lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian dan siasatan masih dijalankan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan