"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua kem, seorang menteri dan ‘kronisme’ PKR

FMT Reporters
PETALING JAYA: PKR Selangor kini berkecamuk dan ini terserlah dalam siri peletakan jawatan yang berlaku dan dakwaan kronisme terhadap pemimpin negeri parti itu.

Menurut sumber, perkembangan ini tidak banyak berkait dengan perpecahan parti yang berlaku akibat persaingan sengit dalam pemilihan PKR yang dijadualkan berlangsung bulan depan.

Banyak pihak mengaitkan peletakan jawatan setiausaha Pemuda PKR Selangor Syed Badli Shah Syed Osman dan ketua Pemuda PKR Sabak Bernam Abdul Mutalib Ahmad dengan “2 kem” dalam parti itu, iaitu kem naib presiden, Rafizi Ramli dan kem timbalan presiden, Datuk Seri Azmin Ali.

Kedua-dua pemimpin itu, yang tidak mesra antara satu sama lain sejak kebelakangan ini, dijangka bertembung merebut jawatan timbalan presiden dalam pemilihan PKR pertama selepas parti itu menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan Mei lepas.

Sumber dalaman parti berkata, Rafizi dan Azmin bukanlah faktor penyumbang kepada rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin akar umbi parti itu.

Isu utama yang mencetuskan rasa tidak puas hati itu ialah pelantikan ahli majlis tempatan di Selangor, dengan dakwaan hirarki parti diketepikan dan individu yang dilihat rapat dengan pemimpin tertentu dipiih.

Justeru jika bukan Rafizi atau Azmin, maka persoalannya sekarang ialah siapa?

“Ia berkait dengan seorang menteri pusat,” kata sumber yang enggan dikenali itu kepada FMT.

“Menteri itu melantik individu yang dikehendakinya sebagai ahli majlis, dan dengan berbuat demikian beliau membelakangkan menteri besar Selangor,” katanya, merujuk kepada Amirudin Shari, yang dilihat oleh banyak pihak berada dalam “kem Azmin”.

Sumber itu memberitahu, biasanya Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang mewakili parti akan mencalonkan seorang ahli majlis, sementara bakinya dipilih oleh ketua cabang PKR.

“Tetap ramai yang tidak terpilih kerana menteri yang juga merupakan pemimpin tertinggi parti memilih calon yang dikehendakinya.”

Sumber yang enggan menamakan menteri terbabit berkata, majoriti ketua cabang PKR di Selangor berpihak kepada Azmin.

“Individu yang berada dalam kem Azmin pun diketepikan,” katanya.

“Menteri tersebut membuat keputusan tanpa memberikan apa-apa sebab. Sepatutnya menteri besar membuat keputusan berhubung ahli majlis.

“Nampaknya sekarang menteri terbabit yang membuat semua keputusan, sekali gus membelakangkan Amir,” katanya, merujuk kepada menteri besar, Amirudin Shari.

PRK Sungai Kandis: Lokman hadiri ceramah PAS

Faiz Zainudin
Lokman Noor Adam bersalaman dengan penyokong PAS dalam ceramah Bangkit Selangor di Kota Raja, malam ini.
SHAH ALAM: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam membuat kejutan dengan muncul di sebuah ceramah anjuran PAS di Kota Raja, di sini, malam ini.

Lokman yang berbaju Melayu putih, tiba dengan beberapa pengikut di Markas PAS Kawasan Kota Raja yang terletak di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Beliau kemudiannya bersalaman dengan penyokong PAS sebelum duduk bersama mereka, ketika Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Mohd Zuhdi Marzuki sedang berceramah.

Pihak penganjur tidak memberi layanan khas atau menjemput ahli Majlis Tertinggi Umno itu duduk bersama pemimpin PAS di atas pentas, sebaliknya pengacara sekadar menyebut nama Lokman sebelum meneruskan ceramah yang dihadiri ratusan orang itu.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Salehin Muhyi berkata, ceramah Bangkit Selangor diadakan bukan untuk menyokong BN sempena PRK Sungai Kandis.

“Kita sudah merancang awal, sebelum Adun Sungai Kandis meninggal dan kebetulan ceramah Bangkit Selangor bermula di Kawasan Kota Raja. Di negeri lain, ceramah sebegini sudah bermula.”
Lokman Noor Adam duduk bersama penyokong PAS sambil mendengar ceramah pemimpin PAS.
Turut hadir dalam ceramah itu ialah Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Khairuddin Aman Razali.

PRK Sungai Kandis menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara Lokman dengan calon PKR, Zawawi Ahmad Mughni dan calon bebas, K Murthy, selepas PAS tidak menurunkan calonnya untuk mengelakkan perpecahan undi.

PRK Sungai Kandis akan diadakan 4 Ogos ini susulan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma, pada 2 Julai lalu.

PAS gesa ahli sokong BN

Sementara itu, Nasrudin secara terbuka menyeru ahli PAS menolak Pakatan Harapan (PH) dalam PRK Sungai Kandis kerana gabungan itu tidak mengamalkan dasar pemerintahan Islam.

“Kita tak nak kerajaan jahiliah diganti calon jahiliah, kerajaan PH tidak mengamalkan pentadbiran Islam.

“Kita kena pastikan mereka kalah, PH kita kena tolak.

“Jadi nak undi siapa, nak kena tunjuk juga ke? Tu undi dia (Lokman),” katanya ketika berceramah sambil menuding ke arah calon BN itu.

Salehin turut menyeru penyokong PAS mengundi Lokman bagi memastikan ada semak dan imbang dalam kerajaan Selangor.

“PAS di DUN Selangor ialah pembangkang, di Parlimen kita pembangkang, kita kena sokong pembangkang bukan kerana soal BN, Umno tetapi pembangkang kena kuat supaya ada semak dan imbang dalam kerajaan negeri, itu sahaja.”

Pemimpin PAS turut membangkitkan kegagalan kerajaan PH menunaikan janji dalam 100 hari pentadbirannya.

PPBM Kelantan akui Adun Umno, PAS mahu sertai PH

Bernama
KOTA BHARU: PPBM Kelantan mengakui mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin Umno dan PAS di negeri itu untuk menyertai parti itu.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Sazmi Miah berkata ia bertujuan memudahkan penyaluran bantuan daripada kerajaan persekutuan kepada masyarakat yang diwakili wakil rakyat berkenaan.

“Perbincangan itu diadakan dengan wakil rakyat PAS dan Umno yang ada hasrat untuk meninggalkan parti mereka, terutama yang tidak berpuas hati dengan pemilihan Umno baru-baru ini.

“Pakatan Harapan (PH) sentiasa terbuka untuk menerima mereka dan kita tidak mengenakan sebarang syarat kepada mereka dan dalam masa sama, kita juga tidak menerima syarat yang dikenakan mereka,” katanya pada majlis kesyukuran sempena pelantikan Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin sebagai timbalan menteri hal ehwal ekonomi anjuran PPBM Bahagian Ketereh di Perol, hari ini.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan ada wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang akan menyertai PPBM dalam satu majlis di Machang esok.

Mengulas lanjut, Sazmi berkata, jika wakil rakyat berkenaan melompat parti, mereka tidak akan diterima masuk ke dalam PH secara langsung, melainkan melalui proses tapisan.

“Tak semestinya mereka yang melompat parti akan menyertai PPBM. Kita terima mereka sebagai rakan (buat sementara waktu) dan mereka boleh memohon untuk masuk mana-mana parti (komponen PH).

“(Bagaimanapun) kita akan buat tapisan dan lihat keikhlasan mereka dan dalam masa sama, kita tidak menawarkan sesuatu yang luar biasa kepada mereka.

“Jika ada wakil rakyat bebas yang menyokong PH akan memudahkan penyaluran bantuan kerajaan persekutuan kepada masyarakat yang diwakili mereka,” katanya.