"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

2 kanak-kanak perempuan hilang di Kuching sejak semalam

Mohd Roji Kawi
Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan di sekitar Kampung Pasit Pandak, Kuching. – Foto JBPM
KUCHING: Dua kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dilaporkan hilang di Kampung Pasir Pandak di sini, sejak pagi semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, kehilangan kedua-duanya disedari selepas mereka tidak pulang ke selepas bermain di rumah nenek mereka.

Menurutnya, berdasarkan keterangan keluarga, kedua-duanya dilihat kali terakhir kira-kira jam 9 pagi ketika bermain bersama sepupu.

“Lokasi rumah nenek mereka hanya terletak kira-kira 50 meter dari kediaman keluarga kanak-kanak terbabit.

“Bapa salah seorang budak itu menyedari kehilangan dua kanak-kanak itu hilang kira-kira jam 11 pagi, apabila mendapati mereka tidak berada di tempat bermain,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, penduduk kampung serta ahli keluarga segera melancarkan usaha pencarian di sekitar kampung, sebaik kehilangan kanak-kanak itu disedari.

“Namun, pencarian awal tidak menemukan sebarang petunjuk mengenai keberadaan kedua-dua kanak-kanak itu.

“Pada 6 petang, laporan polis dibuat selepas usaha mencari selama beberapa jam tidak membawa sebarang hasil,” katanya.

JBPM menerima maklumat kejadian itu daripada pihak polis pada jam 8 malam dan sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya diarah ke lokasi.

Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan di sekitar kampung yang terletak berhampiran pantai itu dengan bantuan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta penduduk kampung.

Bagaimanapun, sehingga jam 5 pagi tadi, kanak-kanak terbabit masih gagal dikesan.

Remaja warga asing ditahan ketika pandu kenderaan majikan

Hafidzul Hilmi Mohd

GOMBAK: Tindakan berani seorang remaja perempuan warga Myanmar memandu sejauh lebih 40 kilometer tanpa sebarang dokumen sah mengundang padah apabila dia ditahan pihak berkuasa, hari ini.

Remaja berusia 16 tahun itu dikesan memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda HRV milik majikan untuk ke rumah neneknya di Selayang.

Tindakannya itu terbongkar selepas dia ditahan dalam Op Bersepadu yang diselaraskan oleh Jawatankuasa Majlis Keselamatan Negeri (MKN) di sini.

Ketika disoal siasat, remaja terbabit mendakwa dia sering memandu kenderaan berkenaan dan dalam perjalanan bersama sepupunya.

“Saya baru belajar kereta, tiada lesen dan kereta yang dinaiki adalah milik majikan. Saya tahu saya salah, tapi saya bukan memandu berseorangan, saya bersama sepupu saya,” katanya ketika ditemui.

Remaja berkenaan adalah antara 843 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berjaya ditahan dalam operasi besar-besaran berkenaan yang bermula kira-kira 10 malam tadi.

Secara keseluruhannya, 1,116 individu diperiksa secara menyeluruh. Daripada jumlah itu, 843 individu ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Operasi berjaya menahan warga Myanmar, 647 orang (617 lelaki, 30 wanita), Nepal 102 orang; Bangladesh 79 orang, Indonesia 15 orang (10 lelaki, 5 wanita) dan India 10 orang.

Terengganu: Pemuda dikhuatiri lemas tergelincir di jeti ketika air pasang besar

Bernama

CHUKAI: Seorang pemuda dikhuatiri lemas selepas dipercayai tergelincir ketika air pasang besar di Jeti Geliga Che Akob dekat sini semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohamad Hanif Che Khalid berkata dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, mangsa Muhammad Anuar Syukrimie Mahmood, 31, yang berasal dari Kampung Geliga Jambatan di sini, sedang duduk di jeti bersama rakan-rakannya.

"Ketika itu air pasang besar 3.7 meter berlaku dan mangsa dikatakan tergelincir di jeti tersebut. Rakan-rakan mangsa cuba mencarinya namun gagal," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun Mohamad Hanif berkata pihak bomba hanya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 2.26 petang tadi, sebelum 17 anggota bergegas ke lokasi.

Beliau berkata dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari ini, pihak bomba melakukan pencarian pada radius satu kilometer dari jarak mangsa dipercayai terjatuh dengan menggunakan dua bot.

"Selain itu, operasi SAR turut disertai lapan anggota polis bersama sebuah bot, selain dibantu seramai 33 orang awam," katanya sambil menambah operasi pencarian mangsa ketika ini masih diteruskan.
-- BERNAMA