"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki maut dihempap mesin cerucuk

Bernama
 
Mangsa berusia 31 tahun ditemukan tersepit dalam kereta dipandu.
Anggota bomba guna peralatan khas kemalangan jalan raya untuk mengeluarkan mangsa. (Gambar JBPM)
SIBU: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) dipandu dihempap mesin cerucuk di Kampung Peruan, Long Tuma, Lawas, petang tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, memaklumkan mangsa, Bili Muli, 31, ditemukan tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Lawas.

“Bomba menerima panggilan kejadian pada 4.55 petang. Enam anggota Balai Bomba Lawas beserta jentera tiba di lokasi yang jaraknya lapan kilometer dari balai bomba itu pada 5.03 petang,” menurut PGO.

Mangsa dikeluarkan dari kenderaan itu menggunakan peralatan khas kemalangan jalan raya (RTA) bagi memudahkan kerja pemotongan kenderaan.

Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada 6.45 petang.

Pendaki mati kesejukan, ditinggal teman lelaki di puncak gunung

KOSMO
Gambar menunjukkan Plamberger dan teman wanitanya. - Facebook
VIENNA – Seorang pendaki wanita ditemukan mati kesejukan selepas ditinggalkan bersendirian oleh teman lelakinya selama hampir tujuh jam di gunung tertinggi Austria, lapor akhbar Metro UK. 

Kerstin Gurtner, 33, disahkan meninggal dunia di Gunung Grossglockner setinggi 3,852 meter ketika suhu mencatatkan -20 darjah Celsius pada Januari tahun lalu.

Defendan, Thomas Plamberger, 39, didakwa meninggalkan Gurtner dalam keadaan ‘tidak dilindungi, keletihan, hipotermia dan keliru’.

Pendakwa raya menyatakan bahawa defendan adalah seorang pendaki berpengalaman dan bertanggungjawab sebagai jurupandu dalam pendakian itu.

Defendan menafikan dakwaan tersebut dengan alasan dia meninggalkan mangsa demi mendapatkan bantuan, namun kesejukan melampau menyebabkan mangsa terkorban. 

Dia didakwa memulakan pendakian dua jam lewat daripada jadual dan tidak membawa peralatan kecemasan yang mencukupi. 

Rakaman video kejadian menunjukkan lampu pasangan itu menyala sekitar pukul 6 petang (waktu tempatan) sebelum mereka terkandas pada pukul 8.50 malam (waktu tempatan).

Defendan meninggalkan mangsa sekitar pukul 2 pagi (waktu tempatan), manakala mayat wanita itu ditemukan pada pukul 10 pagi (waktu tempatan), kira-kira 45.72 meter dari puncak. 

Dia juga dituduh tidak memberikan isyarat kecemasan apabila helikopter polis terbang di lokasi kejadian pada pukul 10.50 malam (waktu tempatan) dan lambat menghubungi perkhidmatan penyelamat.

“Defendan tidak mengambil kira bahawa teman wanitanya tidak berpengalaman dan tidak pernah melakukan pendakian gunung tinggi,” kata pendakwa raya. – AGENSI

Kanak-kanak hilang cerita ‘ada kakak bawa mandi’

CHERINE JON
Abdul Nasri Asyraf bersama-sama anaknya ketika ditemu-bual. - CHERINE JON
KUCHING – “Ada orang bawa mereka ke sana, tapi tidak tahu siapa,” kata bapa kepada salah seorang kanak-kanak hilang yang dijumpai selamat di Kampung Pasir Pandak, di sini.

Abdul Nasri Asyraf Rahman berkata, misteri itu diceritakan anaknya kepada orang kampung yang menjumpai mereka, pagi tadi.

“Semasa dijumpai, orang kampung tanya buat di situ dan mereka beritahu ada kakak membawa mandi,” katanya semasa ditemu bual.

Justeru, beliau meluahkan rasa bersyukur kerana anaknya yang masih berusia lima tahun bersama-sama seorang lagi kanak-kanak seusianya ditemukan selamat.

“Saya menyangka mereka di dalam hutan tapi rupa-rupanya di tepi pantai,” katanya.

Dua kanak-kanak bersaudara terbabit yang disedari hilang kira-kira pukul 11 pagi semalam, ditemukan selamat oleh penduduk kampung pada pukul 9.05 pagi tadi di lokasi Batu Gelingan berhampiran pantai.

Terdahulu, kedua-duanya dilaporkan keluar kira-kira pukul 9 pagi semalam menuju ke rumah nenek mereka yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah untuk bermain dengan sepupu mereka. – KOSMO! ONLINE