"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas profesor berusia 73 tahun tak mengaku perdaya wanita

SITI NOR MAS ERAH AMRAN
Tertuduh (gambar) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini. Gambar oleh DANIAL SAAD/KOSMO!
SEBERANG PERAI – Seorang bekas profesor yang juga Ketua Terapi Pekerjaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini, hari ini atas pertuduhan menipu seorang wanita melibatkan wang berjumlah RM20,000, September lalu.

Tertuduh, V. Kathirkamanathan, 73, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapanya dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya seorang wanita supaya mencadangkan dia dilantik sebagai Programme Consultant bagi Master of Science in Occupational Therapy di di Royal College of Surgeon Ireland (RCSI) University College Dublin (UCD) Kampus Malaysia (RUMC).

Tertuduh juga didakwa mencadangkan bayaran RM20,000 untuk membangunkan modul Program Terapi Pekerjaan, walaupun mengetahui lantikan tersebut melanggar kontrak kerja antara tertuduh dengan Universiti Perdana.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kampus RUMC di George Town, dalam Daerah Timur Laut pada 26 September 2024.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, dengan denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Noor Azura Zulkiflee manakala tertuduh diwakili peguam Eric Paulsen.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 selain menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai serta melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhampiran sekali setiap bulan.

Bagaimanapun, Eric dalam rayuannya memohon jaminan sebanyak RM5,000 atas alasan anak guamnya menghidap masalah jantung dan sakit belakang serta tidak memiliki rekod jenayah.

“Sebelum ini, tertuduh yang memiliki pengalaman hampir 50 tahun bertugas sebagai profesor dan pernah memegang jawatan Ketua Jabatan Terapi Pekerjaan di Universiti Perdana dan saya mohon pasportnya tidak diserah kepada mahkamah kerana tidak ada sebab anak guam saya untuk melarikan diri,” katanya.

Roslan kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur bermula 1 Mac. Mahkamah turut menetapkan 1 April depan untuk sebutan semula kes. -KOSMO! ONLINE

Terengganu: Warga emas nyaris maut ditikam perompak

Mohd Ishak Abdillah Ngah
DUNGUN: Seorang warga emas nyaris maut, selepas ditikam perompak di rumahnya di Kampung Pinang, di sini, kira-kira jam 3 pagi tadi.

Mangsa, Roslan Sidek, 63, dilaporkan mengalami pendarahan teruk selepas cedera ditikam empat kali di bahagian belakang badannya.

Ketika kejadian, mangsa bersama isterinya sedang tidur, sebelum rumah mereka diceroboh beberapa lelaki bertopeng, bersenjatakan parang dan pisau.

Perompak terbabit didakwa mengacukan pisau ke leher mangsa, sambil mengarahkannya untuk menyerahkan wang serta barangan berharga.

Pergelutan berlaku ketika mangsa cuba melawan, sebelum perompak berkenaan melarikan diri.

Isteri mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan kemudian menjerit meminta pertolongan, sebelum jiran datang membantu dan memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis serta menghubungi ambulans.

Mangsa dibawa ke Hospital Dungun untuk rawatan awal dan kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kira-kira jam 4.00 pagi tadi.

Buletin TV3 sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkuasa.

Minyak masak paket: Baru sekarang nak larang, itu menunjukkan peraturan yang dia buat dulu tak cerdik

KPDN warta larangan warga asing beli minyak masak paket bermula 1 Mac

Bernama

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mewartakan peraturan larangan pembelian minyak masak paket bersubsidi kepada bukan warganegara berkuat kuasa 1 Mac ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata peraturan itu dibuat berdasarkan peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan dengan punca kuasa Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Peruntukan undang-undang ini akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara sebelum dikuatkuasakan. Jadi, dengan adanya larangan ini, kami dapat memastikan subsidi itu akan dimanfaatkan warganegara dan tidak dibuka ruang kepada warga asing,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) sama ada KPDN berhasrat mengintegrasikan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) dengan pangkalan data bantuan lain bagi mengelakkan lambakan birokrasi dan amalan bekerja secara silo.

Armizan berkata KPDN juga sedang dalam fasa perbincangan dengan Kementerian Kewangan bagi mengintegrasi platform MyKasih sebagai antara opsyen pembelian minyak masak paket bersubsidi oleh rakyat.

“Mungkin selepas ini dengan hanya mengimbas kad pengenalan... membolehkan pengguna membeli minyak masak paket tanpa menggunakan aplikasi eCOSS,” katanya.

Armizan berkata kejayaan penggunaan MyKad bagi pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan BUDI MADANI RON 95 menjadi rujukan KPDN dalam pelaksanaan cadangan menggunakan kad pengenalan sebagai opsyen pembelian minyak masak paket bersubsidi.

Armizan ketika mengulas mengenai keberkesanan eCOSS dalam menangani ketirisan penjualan minyak masak paket bersubsidi di pasaran berkata sejak dilaksanakan pada Mei 2025, sistem itu merekodkan pembelian sebanyak 20,361,432 paket.

“Sekurang-kurangnya kami sudah ada data siapakah yang membeli minyak masak paket ini dalam kalangan warganegara dan hala tuju program ini juga dapat ditentukan bersandarkan kepada keputusan berasaskan data. Itulah matlamat kami,” katanya.

- Bernama