"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Salahuddin Ayub: PAS seperti mengaku ‘rasuah’ dalam pilihan raya

FMT Reporters

PETALING JAYA: PAS seperti sudah “mengaku” terlibat rasuah pilihan raya apabila memutuskan tidak berhasrat mengemuka rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya bagi Parlimen Kuala Terengganu, kata Salahuddin Ayub.

Timbalan presiden Amanah itu berkata, beliau “pelik” kenapa rayuan tidak dibuat jika benar perbuatan rasuah tidak berlaku.

“Tidak rayu ini maknanya secara mudah ialah mengaku. Mengapa tidak rayu? Kalau isu teknikal itu saya rasa bolehlah kita pandang sepi tapi kalau orang tuduh kita rasuah, lakukan rasuah pilihan raya, tidak merayu, jadi ini mungkin ada ‘something wrong’ (ada sesuatu tidak kena).

“Saya rasa pelik sedikit kerana sepatutnya kalau kita betul-betul pertahankan kita tidak rasuah maka logiknya, kita akan rayu kes itu di peringkat Mahkamah Rayuan,” katanya menurut Bernama di Kota Kinabalu.

Semalam, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, berkata keputusan tidak mengemukakan rayuan itu dilakukan bagi memastikan kebajikan rakyat “tidak terabai” disebabkan ketiadaan Ahli Parlimen kerana Mahkamah Persekutuan akan mengambil masa enam bulan untuk menyelesaikan kes tersebut.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang pula yakin parti akan menang besar di Parlimen itu jika PRK diadakan.

Katanya, tidak timbul soal politik wang berlaku selain menyerahkan rakyat menentukan.

Pada 27 Jun, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad Hashim, yang mewakili PAS, bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU15 selepas memutuskan bahawa pihak pempetisyen, iaitu calon Barisan Nasional Mohd Zubir Embong, berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi.

Pada PRU15, Ahmad memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan memperoleh majoriti 40,907 undi selepas menewaskan tiga pencabar lain termasuk Zubir.

Tiada ulasan: