"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Azmin dijangka 'pulang' ke Hulu Kelang, jentera parti bersiap sedia

Hariz Mohd

Bekas menteri besar Selangor Azmin Ali mungkin masih merahsiakan sama ada dan di mana dia akan bertanding pada pilihan raya negeri 12 Ogos ini, namun terdapat petunjuk kukuh bahawa dia akan berpindah ke Hulu Kelang.

Malaysiakini difahamkan melalui orang dalaman Perikatan Nasional (PN) bahawa persiapan untuk ke arah itu sedang dijalankan, termasuk membuka pusat operasi.

"Ya, arahan sudah diberikan supaya kita bersiap sedia di Hulu Kelang," kata sumber.

"(Azmin) telah membuka bilik gerakan utama di rumah (arwah) ibunya di Klang Gate. Khemah juga telah dipasang di beberapa pusat pengundian daerah," tambah sumber itu.

Malaysiakini menerima beberapa keping gambar menunjukkan khemah kanopi putih yang tertera logo PN di perkarangan sebuah banglo di Jalan Kolam Air, Kampung Kelang Gates Baharu.

Ini kemudiannya disahkan oleh pasukan kami, yang melawat lokasi itu malam tadi.

Azmin adalah penyandang tiga penggal DUN Bukit Antarabangsa yang di bawah kerusi parlimen Ampang.

Hulu Kelang pula adalah satu daripada tiga kerusi DUN di bawah kawasan parlimen Gombak - yang sebelum ini dipegang oleh Azmin dari 2008.

Bagaimanapun, Azmin - yang berpaling tadah daripada PKR pada 2020 - tewas di kerusi Gombak tahun lalu kepada anak didiknya, Amirudin Shari.

Semasa PKR menawan semula kedua-dua Gombak dan Ampang pada pilihan raya umum ke-15, PN mencatatkan keputusan yang lebih baik di Gombak (meraih 36 peratus undi) berbanding di Ampang (26 peratus undi).

Sumber PN juga berkata Azmin melarikan diri ke kerusi "lebih selamat" di Selangor atas beberapa faktor.

“Selain kampung halaman, dia mempunyai jentera yang cukup bersedia di Hulu Kelang (berbanding kawasan lain).

"Satu-satunya kebimbangan sekarang ialah untuk mendapat undi dari kawasan M40 dan T20. Dia kalah teruk dari segi undi di Melawati," kata sumber itu merujuk kepada kawasan Taman Melawati, kawasan kejiranan mewah di kawasan tersebut.

Malaysiakini telah menghubungi Azmin untuk mendapatkan ulasannya.

Minggu lalu, Azmin memberitahu media bahawa dia ditawarkan beberapa kerusi untuk bertanding pada pilihan raya negeri Selangor termasuk di DUN Morib, Batu Tiga dan Hulu Kelang.

Bagaimanapun, ketua penerangan PN itu menegaskan bahawa dirinya tidak akan bertanding di Hulu Kelang hanya kerana ia adalah kampung halamannya dan pucuk pimpinan tertinggi PN akan membuat sebarang keputusan.

Penyandang Adun Hulu Kelang adalah Saari Sungib dari Amanah, yang telah memegang kerusi itu selama tiga penggal berturut-turut, termasuk dua kali ketika dia masih bersama PAS.

Bagaimanapun, Saari mengesahkan tidak akan mempertahankan Hulu Kelang kali ini kerana masalah kesihatan.

Malaysiakini baru-baru ini melaporkan bahawa Amanah kawasan itu telah mencalonkan tiga nama, termasuk anak sulung Saari, Anfaal, yang adalah timbalan ketua sayap Wanita Amanah.

Sumber parti mendedahkan bahawa Umno juga sedang mengintai untuk bertanding di Hulu Kelang.

Tiada ulasan: