"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPRM digesa dedahkan nama ahli politik disiasat rasuah

Lynelle Tham

PETALING JAYA: Sebuah kumpulan antirasuah menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)mendedahkan nama ahli politik sedang disiasat kerana rasuah.

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) berkata, tindakan mendedahkan identiti itu dapat meningkatkan kepercayaan umum terhadap usaha SPRM.

Ketua Pegawai Eksekutif C4, Pushpan Murugiah berkata, sekiranya bukti mencukupi sudah diperoleh di peringkat awal siasatan sehingga membolehkan siasatan lanjut dijalankan, “SPRM wajar mendedahkan nama mereka yang terlibat”.

Bagaimanapun, bekas presiden Transparency International Malaysia, Akhbar Satar berkata, menjadi amalan biasa untuk tidak mendedahkan identiti seseorang sehingga kes dibawa ke mahkamah bagi memastikan keadilan.

“Bagaimana jika kes itu rupanya tidak berasas?” soalnya yang pernah memegang jawatan dalam agensi antirasuah itu.

Seorang lagi pejuang antirasuah, Jais Abdul Karim berkata, walaupun pendedahan identiti mampu meningkatkan ketelusan, SPRM mesti mempertimbangkan implikasi dari segi undang-undang dan etika secara menyeluruh.

“Ia mesti mematuhi standard undang-undang dan etika, serta memberikan penjelasan kepada umum untuk mengelak salah maklumat atau ketidakadilan kepada individu mungkin dituduh secara salah atau masih dalam siasatan.”

Pushpan memberitahu FMT, pendedahan identiti itu “akan menunjukkan SPRM bersikap telus dalam siasatannya dan terbuka kepada pemerhatian awam”.

Kenyataannya menyusul pendedahan SPRM bahawa ahli politik terlibat dalam 60% daripada 156 siasatan kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam sejak 2020.

Pushpan turut mencadangkan SPRM melaporkan dapatannya kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara atau jawatankuasa pilihan khas rasuah.

SPRM dilaporkan berkata, 211 orang ditahan setakat ini, dengan 91 daripadanya didakwa atas 454 tuduhan.

Sejak 2018, hanya beberapa kes rasuah melibatkan ahli politik, termasuk Ahmad Zahid Hamidi, Najib Razak dan Muhyiddin Yassin, didedahkan kepada umum.

Tiada ulasan: