"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bahan politik disebar di masjid, Jais beri amaran jangan langgar titah Sultan

FMT Reporters
Pengarah Jais Mohd Shahzihan Ahmad memberi amaran kepada pentadbir masjid dan surau tidak membiar bahan terbitan berunsur politik disebar di rumah ibadat.
PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memberi amaran mengenakan tindakan dan membatal lantikan pentadbir masjid dan surau kerana membenarkan ahli politik berpolitik di rumah ibadat termasuk membiar bahan terbitan berunsur politik disebar.

Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad, berkata masih ada pegawai masjid di negeri itu didapati mengambil ringan ketetapan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) bagi mengekalkan masjid dan surau sebagai “zon aman serta bebas sebarang elemen atau pengaruh politik”.

“Tindakan pihak tertentu yang mengambil kesempatan menjelang proses PRN dengan mengedar bahan bercetak berunsur politik dan berpolitik di masjid atau surau adalah suatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan melanggar titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah serta ketetapan Mais,” katanya menurut Bernama.

Katanya, Sultan Selangor sejak 2018 telah bertitah mengingatkan agar masjid atau surau menjadi tempat beribadat yang aman dan sejahtera serta tidak dipolitikkan.

Beliau berkata, sebarang tindakan yang bersifat menghina, mengingkari, melanggar atau mempertikaikan titah Sultan Selangor atau arahan Mais boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 12 (a) atau (b), Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

“Pegawai masjid yang terlibat juga boleh dikenakan tindakan dan dibatalkan pelantikannya oleh Mais berdasarkan Peraturan 7 (f), Peraturan-Peraturan Masjid Dan Surau (Negeri Selangor) 2017,” katanya.

Tiada ulasan: