"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiba masa naik cukai gula, Ahli Parlimen beritahu kerajaan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen PKR menyeru kerajaan menaikkan cukai gula terutama minuman pra-pembungkusan bagi mengekang pengambilan berlebihan gula masyarakat.

Sambil memetik laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah berkata setiap rakyat Malaysia mengambil purata 41.6kg gula setahun.

Tahap pengambilan itu jauh melepasi syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan garis panduan diet kebangsaan iaitu pengambilan 50g gula sehari (bersamaan 18kg setahun), katanya.

Beliau berkata, ini bermakna Malaysia berada pada kedudukan ke-10 daripada 161 negara melibatkan pengambilan gula per kapita walaupun pengenalan cukai gula mula diperkenal pada 2019.

“Memandangkan harga gula dijangka meningkat tidak lama lagi susulan faktor seperti peningkatan kos pengeluaran dan bahan mentah, sekarang adalah masa sesuai menumpukan usaha mengurangkan pengambilan gula,” katanya dalam kenyataan.

Pada Julai 2019, duti eksais 40sen seliter dikenakan kepada minuman bergula mengandungi lebih lima gram gula, atau mana-mana pemanis berasaskan gula setiap 100ml.

Pada April, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, berkata pihak kementerian telah membangunkan pelan strategik mengurangkan pengambilan gula dalam kalangan masyarakat, yang mana akan berkuat kuasa sehingga 2025.

Zaliha berkata, pelan strategik akan merangkumi “tindakan pelbagai sektor”, namun beliau tidak mendedahkan perincian.

Puah berkata, peniaga dan vendor sepatutnya menggalak pengguna membuat pembelian produk kurang manis dengan menawarkan pada harga lebih rendah dan mudah didapati.

“Begitu juga kerajaan perlu melancarkan semula secara agresif kempen anti-obesiti dan pengurangan gula.

“Kos keseluruhan merawat diabetes melonjak hampir RM4.4 bilion setiap tahun dan ia menjejaskan belanjawan tahunan Kementerian Kesihatan kita.

“Jika kita boleh mengurangkan kos, ia akan melapangkan belanjawan bagi rawatan penyakit lain atau menaiktaraf kemudahan mendesak di hampir semua hospital dan klinik,” katanya.

Tiada ulasan: