"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPRM tahan bekas pegawai menteri minta sogokan lulus taraf warganegara

Bernama

SPRM menahan seorang bekas pegawai khas menteri selepas disyaki meminta wang rasuah kira-kira RM25,000 daripada seorang individu sebagai dorongan mendapatkan surat kelulusan permohonan taraf kewarganegaraan.

Sumber SPRM memaklumkan lelaki yang juga penjawat awam berumur 40-an itu ditahan kira-kira lima petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati lelaki yang merupakan bekas pegawai khas seorang menteri pada 2019 itu didakwa telah meminta wang rasuah daripada seorang lelaki tempatan yang membuat permohonan taraf kewarganegaraan untuk anak kandungnya.

"Pada Jun lepas, suspek telah menghubungi individu terlibat yang memohon taraf kewarganegaraan bagi anaknya sejak 2015 yang memaklumkan bahawa surat kelulusan permohonan itu telah ada padanya dan meminta individu terbabit membayar wang berjumlah RM25,000 sebelum menyerahkan surat tersebut," kata sumber itu.

Sumber itu berkata penahanan lelaki berkenaan dibuat hasil pendedahan dan gesaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya SPRM menyiasat amalan rasuah segelintir pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara.

Susulan penahanan itu, majistret Irza Zulaikha Rohanuddin telah membenarkan lelaki terbabit direman tiga hari bermula hari ini hingga 14 Julai setelah pihak SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

-Bernama

Tiada ulasan: