"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Di satu cakerawala alternatif, bayangkan DAP kalau...

Johan Mat

Di satu cakerawala alternatif, Yusuf Azmi baharu sahaja selesai meniup semboyan yang menyeru kebangkitan orang Melayu daripada dibuai lena.

Protes Solidariti Ummah dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka hujung minggu ini.

Pemimpin PAS pula galak menyeru sekalian umat mereka untuk turun berhimpun. Ini satu jihad, kata PAS.

Selasa lalu, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan yang menghina kebitaraan dan kebijaksanaan Sultan Kedah.

“Sultan hebat takkan pilih Menteri Besar cokiah macam Sanusi,” ujar Guan Eng dalam loghat utara di hadapan penyokong Pakatan Harapan.

Kenyataan beliau disambut hilai tawa dan disusuli sorakan gemuruh.

Sebaik klip video ucapan itu tular, bergempita media sosial dengan tuntutan agar Guan Eng membuat permohonan maaf.

“DAP cauvinis!”

“DAP anti monarki!”

“Apa nak jadi dengan nasib orang Melayu?”

Ramai yang mengingatkan orang Cina bahawa negara yang didiami mereka itu namanya Tanah Melayu. Apa mereka tidak belajar sebarang perkara daripada filem Mat Kilau?

Masalahnya, ini bukan kali pertama DAP menunjukkan prejudis dan tentangan mereka terhadap institusi diraja.

Awal tahun 2Q23, Lim Kit Siang mengeluarkan fatwa yang jelas melawan titah Yang di-Pertuan Agong yang menyeru kepada kestabilan Kerajaan.

“Kenyataan Agong tidak qat’ie, tidak jadi kata putus. Memang kita berhak merancang (menumbangkan Kerajaan) dan tiada siapa yang boleh halang kita untuk merancang.”

Ya, di dalam realiti alternatif ini, Kit Siang tahu definisi ‘qat’ie’.

Sewaktu menjadi Kerajaan, Pakatan Harapan yang dikuasai DAP sesuka hati membatalkan Ordinan Darurat tanpa perkenan diraja sehingga mengundang kemurkaan Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum itu lagi, 3 Adun Perak daripada DAP menolak untuk mengadap Sultan Perak apabila dititahkan. Alasan mereka, parti tidak membenarkan. Hal ini sudah melampau.

DAP berterusan melakukan penghinaan ke atas Raja-Raja Melayu lagi dan lagi. Kebia-DAP-an ini perlu dihentikan.

Penyokong PAS kini sedang bersiap untuk turun ke Dataran Merdeka.

Sayup-sayup kedengaran dari bucu telefon pintar mereka : “Pertahankan kepimpinan ulama...”

Jubah putih sudah selesai digosok. Replika perisai dan pedang telah tersedia. Di penjuru bilik, sepanduk anti DAP sedang menunggu untuk dijulang. Masa untuk berjihad.

Mujur semua ini berlaku di cakerawala alternatif. Di dunia sebenar, mana mungkin DAP berperilaku sedemikian. Mereka bukan PAS.

JOHAN MAT ialah pembaca Malaysiakini.

Tiada ulasan: