"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mengaku rogol: Pelajar kolej terlepas hukuman penjara 60 tahun, sebat


TERTUDUH diiring keluar anggota polis selepas Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka menjatuhkan menjalani khidmat masyarakat bagi tempoh 240 jam dalam masa dua tahun dan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan penjamin, berserta jaminan sebanyak RM7,000 untuk tiga tahun. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
HADI AB. MANAP

MELAKA: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman khidmat masyarakat bagi tempoh 240 jam dalam masa dua tahun dan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan penjamin berserta jaminan sebanyak RM7,000 untuk tiga tahun kepada seorang penuntut kolej.

Keputusan itu dibuat Hakim Darmafikri Abu Adam selepas tertuduh, Ahmad Rasyid Ruslan, 19, mengaku bersalah atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar madrasah.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama, tertuduh didapati telah merogol seorang perempuan berusia 15 tahun 20 hari kira-kira pukul 1.30 petang dalam bilik di sebuah hotel di Jalan Plaza Mahkota dalam daerah Melaka Tengah, pada 12 Jun 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didapati telah melakukan amang seksual terhadap mangsa sama pada waktu, lokasi dan tarikh sama dan didakwa mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat untuk kesalahan berkenaan.

Mengikut fakta kes, mangsa telah pergi ke lokasi seorang diri selepas dikatakan tidak mahu ke madrasah dan telah meminta bantuan tertuduh untuk mendaftar masuk menggunakan namanya ekoran mangsa masih di bawah umur.

Tertuduh kemudian telah menemani mangsa dalam bilik hotel itu sebelum memujuknya melakukan hubungan seks.

Peguam Zulkifli Awang merayu hukuman diringankan dengan alasan anak guamnya telah digantung pengajian dan kini bekerja sambilan di kedai runcit, selain perbuatan itu merupakan kesalahan pertama tertuduh.

Tambahnya, pihak kolej juga telah bersetuju memberikan peluang kedua kepada tertuduh untuk meneruskan pembelajaran, sekiranya kes berkenaan dapat diselesaikan.

Bagaimanapun, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin memohon pertimbangan hukuman dibuat lebih kepada kepentingan awam dan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani khidmat masyarakat bagi tempoh 240 jam dalam masa dua tahun dan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan penjamin, berserta jaminan sebanyak RM7,000 untuk tiga tahun.

Hukuman itu adalah mengikut Seksyen 294 Kanun Acara Jenayah iaitu peruntukan untuk pelepasan di bawah satu bon berkelakuan baik atas dasar tertuduh adalah pesalah pertama. – UTUSAN

Tiada ulasan: