"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Benarkah PRN kali ini UMNO bakal tertiarap

Shahbudin Husin 

PRN DAN TANDA2 BAHAYANYA KEPADA UMNO

Apabila Zahid Hamidi tampil membuat gesaan kepada penyokong Najib Razak agar menyokong calon-calon yang mewakili kerajaan perpaduan pada PRN akan datang ini, ia secara tidak langsung memberi gambaran memang wujud kecenderungan golongan terbabit untuk tidak memberi sokongan.

Dikatakan kecenderungan itu kian berkembangan berikutan mereka kecewa kerana UMNO dilihat tidak serius memperjuangkan pembebasan Najib.

Dalam hal ini, Zahid Hamidi, tiada sebab untuk segelintir pihak berfikiran bahawa tiada usaha-usaha dilakukan oleh UMNO untuk membela bekas Perdana Menteri itu.
Sambil menekankan soal perundangan dan pilihan raya mesti diasingkan, Zahid Hamidi mengingatkan, Najib sendiri mahu sokongan diberikan kepada kerajaan sekarang.

“Najib sendiri melalui anak-anak beliau menyatakan bahawa dukungan mesti diberikan kepada kerajaan perpaduan sekarang ini.

“Najib meminta bukan sahaja penyokong beliau tetapi juga rakyat supaya mendukung kerajaan perpaduan ini,” tambahnya lagi.

Sekiranya kecenderungan penyokong Najib yang dikatakan tidak mahu memberi sokongan itu gagal ditangani dengan sebaiknya, ini adalah petanda bahaya kedua kepada UMNO dalam menghadapi PRN pada 12 Ogos depan.

Sebelum ini, MCA dan MIC telah bersatu hati memberi petanda bahaya pertama kepada UMNO apabila sama-sama sependirian tidak mahu menyertai atau meletakkan calon pada PRN enam negeri akan datang ini.

Walaupun dilaporkan masih sedia membantu BN, MCA dan MIC sebaliknya menegaskan, keputusan itu diambil kerana mereka ingin fokus menghadapi PRU16 akan datang.

Hakikatnya, di sebalik MCA dan MIC dilaporkan memberi jaminan untuk tetap membantu calon-calon kerajaan perpaduan yang bertanding, tetapi tentulah jaminannya itu terlalu longgar untuk diyakini kerana tiada calon mereka yang turut bertanding.

Siapa nak marah jika mereka tidak turun berkempen atau jika turun pun, sekadar jalan-jalan cari makan saja?

Dengan tidak meletakkan calon dalam PRN ini, yang ternampak ialah MCA dan MIC mahu meletakkan beban kekalahan PRN ini kepada UMNO secara sendirian untuk menanggungnya.

Mungkin kerana sudah menyedari, kalau bertanding pun akan kalah, termasuk majoriti calon-calon UMNO juga dipercayai akan turut kalah, maka dengan tidak menyertai PRN akan membebaskan MCA dan MIC daripada turut sama terpalit dengan kekalahan itu.

Di waktu yang sama, selain sentimen rakyat kepada UMNO didapati masih dingin, terdapat kelompok dalam UMNO sendiri yang dikesan turut enggan berjuang dengan bersungguh-sungguh bagi memenangkan parti.

Mereka ingin menjadikan PRN ini sebagai hukuman kepada Presiden UMNO, Zahid Hamidi yang bertindak memecat dan menggantung keahlian sejumlah pemimpin yang dipercayai boleh menggugat kedudukannya pada pemilihan UMNO yang lalu.

Kalau dibiarkan dan ia berkembang, perkara ini akan menjadi petanda bahaya ketiga kepada UMNO dalam PRN nanti.

Dalam erti kata lain, selain PRN nanti merupakan referendum tidak rasmi kepada Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri, ia juga merupakan “titian silatul mustakim” kepada kedudukan Zahid Hamidi.

Jika keputusan buruk diterima UMNO pada PRN nanti, Zahid Hamidi pasti akan menerima tekanan lebih kuat, baik atas kedudukannya sebagai Presiden UMNO atau sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan yang diterajui Anwar yang dilihat berdegar-degar melawan rasuah, tapi timbalannya sendiri masih berulang alik ke mahkamah.

Yang nyata, PRN ini akan menjadi penentuan sama ada keberadaan Zahid Hamidi diterima oleh pengundi atau sebaliknya.

Melihatkan sentimen di lapangan ketika ini, UMNO benar-benar dilihat dalam bahaya dan sungguh kritikal untuk memenangi kerusi yang munasabah.

Daripada 245 kerusi yang dipertandingkan dalam PRN nanti, BN dilaporkan akan bertanding sekitar 110 kerusi atau 45 peratus daripadanya, soalnya – dengan pukulan demi pukulan datang menimpa ini, berapa kerusikah mampu dimenangi UMNO? – ShahbudinHusin 07/07/2023.

Tiada ulasan: