"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penganalisis: Calonkan Tok Mat akan bantu PH-BN kekalkan N Sembilan

Shahrul Shahabudin

PETALING JAYA: Penganalisis politik percaya peluang Pakatan Harapan-Barisan Nasional untuk terus memegang Negeri Sembilan lebih cerah jika Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan bertanding di Rantau, yang diwakilinya selama empat penggal.

Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia berkata, Mohamad merupakan satu-satunya pemimpin Umno di Negeri Sembilan yang masih mempunyai asas politik yang kukuh, selepas bekas Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin dipecat daripada parti itu pada Januari.

Katanya, keputusan Mohamad untuk bertanding semula di Rantau akan meningkatkan peluang PH dan BN memenangi PRN Negeri Sembilan.

“Mohamad (bekas menteri besar tiga penggal) mempunyai pengaruh yang signifikan (di Negeri Sembilan). Peranan beliau di negeri ini sama penting dengan jawatan menterinya,” kata Mazlan kepada FMT. Mohamad ialah menteri pertahanan dalam Jemaah Menteri persekutuan.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, pengalaman Mohamad sebagai menteri besar dari 2004 hingga 2018 akan menarik undi dari seluruh negeri. Penduduk Negeri Sembilan juga berpuas hati dengan prestasi Mohamad mentadbir negeri.

Katanya, era Mohamad boleh dianggap “serupa dengan Selangor semasa Khalid Ibrahim menjadi menteri besar”. Kedua-dua tokoh itu, katanya, mempunyai latar belakang korporat, yang mencetuskan persepsi positif dalam kalangan penduduk, kata Azmi.

Pada Isnin, Mohamad memberikan bayangan bahawa beliau mungkin bertanding di Rantau, kawasan yang pernah diwakilinya antara 2004 dan 2018, pada PRN akan datang.

PRN akan berlangsung serentak di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu pada 12 Ogos ini.

Mohamad digantikan sebagai menteri besar oleh Aminuddin Harun daripada Pakatan Harapan pada 2018 selepas BN kehilangan kuasa di negeri itu.

Mujibu Abd Muis daripada Universiti Teknologi Mara berkata, “faktor kebolehmenangan” Mohamad lebih penting bagi Umno berbanding meletakkan calon baharu untuk kerusi itu.

Katanya, untuk menang di kerusi campuran dengan majoriti pengundi Melayu seperti Rantau, BN dan PH memerlukan pengalaman Mohamad sebagai menteri dan bekas menteri besar.

“Mohamad penting sebagai seorang tokoh berpengalaman dan saya percaya beliau ada potensi untuk menjadi calon yang menang,” kata Mujibu.

Mohamad memenangi kerusi Parlimen Rembau dengan majoriti 19,897 pada PRU15 November lepas.

Tiada ulasan: